Iklan

Apa salah kerjasama dengan Bersatu, soal exco Pemuda Umno

Mohd Farhan Darwis3 years ago5th Sep 2021Berita
Papagomo 020921 tmiseth 01
Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata akan tetap setia bersama Umno dan tidak akan menyertai parti politik lain walaupun menerima beberapa tawaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 5 September, 2021.
Iklan

UMNO tidak wajar menggantung ahli yang menyeru kepada usaha menyatukan orang Melayu, kata seorang exco sayap Pemuda yang dikenakan tindakan itu.

Wan Muhammad Azri Wan Deris memberitahu The Malaysian Insight, beliau hanya membuat saranan seperti itu dan bukan menyeru ahli Umno menyertai Bersatu.

“Saya pun tak faham kalau kata saya ajak kerjasama dengan Bersatu atau PAS atau mana-mana pun dikatakan salah.

“(Seruan itu) kerana perlembagaan dan asas penubuhan Umno itu menyatupadukan bangsa, kalau itu salah saya rasa baik pemimpin tertinggi letak jawatan sahaja kalau tak faham,” katanya.

Lagi pula, parti hanya memutuskan kerjasama dihentikan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kini Umno sudahpun mengambil alih kerajaan, katanya.

Mengulas lanjut, Wan Muhammad Azri membangkitkan ironi bahawa kerajaan yang dipimpin Umno pada waktu ini juga dibentuk hasil kerjasama dengan Bersatu.

“Terkilan juga, hari ini kerajaan dibentuk hasil kerjasama dengan Bersatu. Keputusan tolak kerjasama bila PRU15, sekarang belum PRU15 tapi inilah dia… saya digantung enam tahun.”

Beliau memberitahu The Malaysian Insight sedemikian sewaktu mengulas keputusan Lembaga Disiplin Umno pada Rabu yang menggantung keahliannya selama enam tahun.

Menurut lembaga itu, penggantungan itu kerana beliau mengeluarkan kenyataan tidak selari dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang menolak kerjasama dengan Bersatu.

Menurut Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, Wan Muhammad Azri juga melanggar tata etika mematuhi arahan parti dan melaksanakan dasar parti.

Selain itu, beliau juga gagal mematuhi dan menghormati keputusan parti dan memelihara nama baik parti, katanya dalam surat mengenai keputusan penggantungan keahlian itu.

Wan Muhammad Azri meraih populariti melalui serangan aktif ke atas pemimpin Pakatan Harapan di blog dan siaran di media sosial dengan nama Papagomo.

Serangan itu menyebabkan beliau disaman berkali-kali dan terpaksa membayar lebih RM1 juta atas kenyataan fitnah di platform berkenaan.

Popularitinya itu bagaimanapun membolehkan beliau meraih jawatan exco Pemuda dalam pemilihan 2018 yang diadakan selepas Umno kalah teruk dalam PRU14.

Beliau kini aktif menyerang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengetuai usaha menggulingkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan merampas semula Putrajaya.

Mengulas pendiriannya, Wan Muhammad Azri menegaskan beliau akan tetap setia bersama Umno dan tidak akan menyertai parti politik lain walaupun menerima beberapa tawaran.

“Walaupun digantung daripada Umno tapi saya yakin saya dapat tarik anak muda faham realiti sebenar. Ini bukan soal individu, ini perjuangan wadah Umno.

“Saya setia dengan Umno dan akan tetap setia dengan Umno walau digantung dan dipecat. Saya tetap bersama Umno,” katanya. – 5 September, 2021.

Iklan
Iklan