Iklan

Penduduk Orang Asli lega, kampung bebas Covid-19 lepas vaksin lengkap

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago5th Sep 2021Berita
Ramsit anggung
Ramsit Anggung sudah lengkap dua dos sejak Jun dan mengakui tidak mendapat kesan sampingan pengambilan vaksin. – Gambar The Malaysian Insight, 5 September, 2021.
Iklan

WARGA Orang Asli di Hulu Selangor gembira kerana kampung mereka bebas jangkitan Covid-19 apabila penduduk sedar mengambil vaksin dan kini tidak sabar untuk melengkapkan dos.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, penularan virus yang dikesan di kalangan suku kaum berkenaan pada Jun menyebabkan mereka berlumba-lumba mendapatkan perlindungan itu.

Seorang guru tabika, Aina Satun berkata, beliau kini lega apabila Kampung Gerachi Jaya bebas jangkitan Covid-19 apabila seluruh penduduk divaksin.

“Pada ketika itu, lebih 20 orang penduduk kampung ini yang positif Covid-19. Apabila mendapat peluang, saya terus mendapatkan vaksin pada bulan Jun lagi,” katanya.

Aina, 39 berkata beliau berminat mengambil vaksin kerana risikonya tinggi sebagai individu yang dekat dengan kanak-kanak.

Penduduk lain yang bimbang dengan jangkitan juga berusaha mendapatkan vaksin tetapi hanya berjaya mendapatkannya kemudian mengikut giliran melalui MySejahtera, katanya.

“Sekarang ini, kampung kami sudah bebas dari jangkitan Covid19 dan semua yang kuarantin juga sudah sihat malah sudah mendapatkan dos pertama masing-masing,” katanya.

Aina Satun gembira Kampung Gerachi Jaya bebas jangkitan Covid-19 apabila seluruh penduduk divaksin. – Gambar The Malaysian Insight, 5 September, 2021.

Tok batin di Hulu Selangor, Ramsit Anggung berkata beliau menjadi individu pertama mendapatkan vaksin untuk memadam ketakutan di kalangan anggota komunitinya seramai 150 orang itu.

“Saya sudah lengkap dua dos sejak bulan Jun lagi. Kami takut sebenarnya.

“Saya pergi sendiri ke Serendah untuk dapatkan vaksin selepas senarai nama dikeluarkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya.

Menurut Ramsit, 61, tindakannya itu meningkatkan keyakinan suku Temuan, Temai, Temiang dan Mah Meri di kampung tersebut yang dapat melihat vaksin tersebut tidak memberi kesan buruk.

“Selepas balik dari suntikan vaksin, saya menunjukkan kepada mereka yang tidak mengalami sebarang kesakitan.

“Saya bersyukur kerana tiada sebarang kesan juga akibat pengambilan vaksin,” katanya yang ditemui sewaktu dikunjungi kumpulan sukarelawan dari sebuah kumpulan syarikat klinik swasta.

Mengulas kebimbangan tersebut, seorang lagi pemimpin komuniti berkata mereka bagaimanapun tetap mendaftar untuk mendapatkan vaksin sejak peringkat awal.

Penolong Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Keselamatan Kampung Orang Asli Jamil Asun berkata, ia menyebabkan masyarakat tersebut mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu.

“Ramai yang takut pada mulanya dan sepakat untuk tangguh. Tetapi memandangkan kes semakin tinggi, kami mendapatkan vaksin di kampung kami sendiri,” katanya.

Jamil, 33, sebab itulah mereka rela vaksin diberi kepada masyarakat luar terlebih dahulu sebelum yakin untuk mendapat perlindungan berkenaan.

“Masyarakat luar (bukan Orang Asli) lebih terdedah kepada jangkitan Covi-19 disebabkan itu kami memberi laluan kepada mereka terlebih dahulu.

“Namun, kami tetap berdaftar melalui MySejahtera dan berlaku kelewatan sedikit.

“Akhirnya dengan bantuan Jakoa dan Hospital Orang Asli di Gombak, lebih 300 buah keluarga di sini mendapat dos pertama kami pada 23 Ogos lalu,” katanya.

Beberapa komuniti Orang Asli kini dikawal Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ekoran jangkitan yang tinggi.

Ia termasuk dua kampung di Pos Blau di Gua Musang, Kelantan dan empat di Temerloh – Kampung Kuala Terbol, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong.

Kerajaan pada minggu lalu mula menggerakkan pemberian vaksin dos tunggal CanSino untuk diberikan kepada kumpulan masyarakat di kawasan pedalaman.

Ia diumumkan sebagai tumpuan meningkatkan kadar vaksin di negeri yang belum mencapai liputan 50% daripada jumlah penduduk – Terengganu, Johor, Perak, Kedah, Kelantan dan Sabah.

Vaksin CanSino mula diagih ke Pulau Mabul di Sabah yang menerima 2,000 dos, selain 12,000 kepada masyarakat luar bandar Negeri Sembilan. – 5 September, 2021.

Jamil Asun berkata lebih 300 buah keluarga Orang Asli sudah mendapat dos pertama pada 23 Ogos lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 5 September, 2021.
 

Iklan
Iklan