Iklan

Penduduk terjejas bekalan air mahu saman kerajaan Terengganu

Diyana Ibrahim3 years ago6th Sep 2021Berita
50513057907 1dce88e29a o
Sekumpulan penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mahu saman Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan kerajaan negeri selepas dua kali terputus bekalan air baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.
Iklan

SEKUMPULAN penduduk di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mahu menyaman Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd dan kerajaan negeri selepas dua kali terputus bekalan air ekoran insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengumumkan hasrat lebih kurang 20 penduduk terlibat selepas pihaknya menawarkan khidmat guaman percuma kepada mereka.

“Secara prinsipnya mereka mahu jaminan daripada kerajaan supaya insiden begini tidak lagi berulang dan mahu kerajaan negeri lebih bertanggungjawab,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, tindakan saman dibuat kerana mereka mahu mendapatkan keadilan selepas menanggung kerugian besar akibat masalah bekalan air yang berpanjangan dan berulang.

Insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu berlaku pada 2 Ogos menyebabkan gangguan bekalan air 12 hari sehingga 13 Ogos.

Gangguan berulang apabila dua lagi batang paip pecah, lebih kurang 24 meter dari lokasi awal paip pecah yang dibaiki, pada 23 Ogos mengakibat bekalan terjejas sehingga 12 September.

Kedua-dua insiden yang menjelaskan hampir 158,000 penduduk dipercayai berpunca daripada kerja-kerja mengorek pasir di Sungai Terengganu sejak lima tahun lalu.

“Banyak yang terjejas, penduduk dan peniaga, sebab bila tak ada air ia secara tidak langsung menjejaskan mata pencarian penduduk terutama peniaga. Mereka ini baru yang nak mula berniaga sebab dulu larangan PKP (perintah kawalan pergerakan),” katanya.

Raja Kamarul Bahrin berkata peniaga terlibat sudah mengeluarkan modal untuk berniaga semula selepas kerajaan melonggarkan beberapa sekatan termasuk kebenaran untuk makan di tempat sejak 10 Ogos lalu.

Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata pihaknya tawar khidmat guaman percuma kepada kumpulan penduduk yang berhasrat saman Syarikat Air Terengganu dan kerajaan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

Mereka bagaimanapun rugi kerana tidak dapat menjalankan perniagaan selepas gangguan bekalan air yang berulang kali kedua. Masalah sama turut dialami oleh pengguna biasa.

“Yang bukan berniaga pun perlu tinggal kerja mereka sebab nak angkut air. Itu belum lagi dengan kos tambahan, yang mereka terpaksa keluarkan duit lagi untuk beli air atau membasuh baju di dobi,” katanya.

Raja Kamarul Bahrin yang juga ahli Parlimen Terengganu mendakwa ada unsur kecuaian pihak pengurusan bekalan air, yang boleh dipertikaikan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Selain tindakan saman isu gangguan bekalan air, Raja Kamarul Bahrin berkata sebahagian penduduk terutama dari Kuala Nerus dan Kampung Pulau Sekati di Kuala Terengganu mahu mengemukakan saman berasingan berhubung aktiviti mengorek pasir dekat kawasan tanah dan rumah mereka.

Pihaknya kini sedang mengemas kini maklumat dan data sebelum tuntutan saman berkenaan difailkan secepat mungkin sebelum bulan depan.

Minggu lepas The Malaysian Insight melaporkan penduduk mendakwa gangguan bekalan air dua kali di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu pada Ogos berpunca daripada projek korek pasir di Sungai Terengganu sejak lima tahun lepas.

Penduduk Kampung Sekati di Kuala Terengganu berkata mereka sudah lama menyuarakan kebimbangan mengenai projek itu, yang bukan saja mengancam jajaran paip di dasar sungai tetapi menghakis tanah.

Walaupun sudah banyak kali diadu, mereka tidak nampak ada tindakan diambil – sehinggalah insiden paip pam pecah di dasar Sungai Terengganu pada 2 Ogos yang menyebabkan 28,700 pengguna akaun di dua daerah itu terganggu bekalan air.

Khamis lepas Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan aktiviti lombong pasir menyebabkan paip pecah di Sungai Terengganu dan pengguna putus bekalan air mentah.

Beliau menolak andaian itu dan memberi alasan, kejadian paip pecah baru berlaku sedangkan perlombongan pasir sudah lama dijalankan.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar pula berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan menyiasat insiden tersebut termasuk dakwaan aktiviti korek pasir.

Keputusan siasatan dijangka diketahui pertengahan bulan ini, katanya. – 6 September, 2021.

Iklan
Iklan