Tuduhan pecah amanah terhadap Zahid lemah, Mahkamah Tinggi diberitahu
Iklan
PERTUDUHAN pecah amanah (CBT) terhadap Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak kukuh dan tertuduh perlu diberi imuniti kerana mendedahkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata peguam bela kepada Mahkamah Tinggi hari ini.
Peguam bela kepada bekas timbalan perdana menteri Hisyam Teh Poh Teik mengemukakan perkara itu kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah semasa penyerahan pada akhir kes pendakwaan kes rasuah Zahid yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Hisyam berpendapat bahawa pendakwaan terhadap anak guamnya adalah tidak perlu dan pihak pendakwa tidak membuat kes prima facie atas tuduhan ini terhadap presiden Umno itu.
“Ini adalah pengakuan kami bahawa di sebalik kepercayaan Yang Berhormat AG (Tommy Thomas) untuk mendapatkan pendakwaan, kenyataannya adalah tuduhan itu dibuat berdasarkan bukti yang tidak kukuh.
“Tuduhan mengatakan bahawa tertuduh melakukan CBT ketika didakwa memindahkan sejumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi ke akaun amanah pelanggan Lewis & Co.
“Ini jelas salah dalam undang-undang untuk mengatakan bahawa berlaku CBT ketika Yayasan Akalbudi memperoleh pemilikan wang tersebut ketika wang tersebut sampai ke akaun pelanggan Lewis & Co,” kata Hisyam.
Menurutnya, saksi pendakwaan ke-89, pegawai penyiasat Fairul Rafiq Hamirudin telah mengakui dalam pemeriksaan balas bahawa tidak ada CBT.
Di samping itu, Hisyam berpendapat bahawa Zahid harus diberi imuniti kerana telah membuat dua pernyataan kepada SPRM pada 2 Julai dan 3 Julai 2018 dan oleh itu dilindungi di bawah sub-seksyen 30 (7) Akta SPRM.
“Kami menyatakan bahawa beliau kebal dari pendakwaan atas tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan tuduhan pengubahan wang haram berhubung dengan semua maklumat yang beliau dedahkan kepada SPRM tiga tahun lalu,” kata Hisyam kepada hakim Collin Lawrence Sequerah.
Peguam itu menambah bahawa kes itu tidak lagi menjadi kepentingan umum apabila seseorang yang dituduh didakwa secara tidak wajar atau salah.
“Ini membuang masa kehakiman. Sebenarnya, ini adalah penyalahgunaan proses,” katanya.
“Malangnya kita tidak dapat membatalkan tuduhan dengan alasan ianya tidak berasas.
“Tidak ada peruntukan dalam Kanun Prosedur Jenayah yang menetapkan untuk membatalkan tuduhan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi.”
Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kes itu selepas perbicaraan berlangsung selama 53 hari memanggil 99 saksi untuk memberi keterangan.
Zahid, 68, berdepan 47 tuduhan - 12 untuk pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram - melibatkan puluhan juta ringgit milik yayasan tersebut.
Sekiranya disabitkan kesalahan, presiden Umno itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Mahkamah ditangguhkan hari ini pada pukul 12 tengah hari dan akan disambung semula esok pagi. – 6 September, 2021.