Rashid sengaja cari alasan tolak usul ganti speaker, kata ahli Parlimen
Iklan
TIMBALAN Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon sengaja mencari alasan teknikal bagi menolak usul berkaitan kedudukan Azhar Azizan Harun sebagai speaker Parlimen, kata ahli Parlimen.
Alasan Rashid seperti sengaja diada-adakan apabila alasannya tidak konsisten, kata mereka.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata usulnya ditolak atas alasan tidak didahului pemberitahu mengikut Aturan 27 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Tetapi usul Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub yang dibuat mengikut Aturan 27 bagaimanapun ditolak juga dengan alasan tidak tepat, katanya.
“Kita sedar bagaimana ada satu permainan yang sedang dimainkan speaker dan timbalan, yang mana isu pokok di sini berkaitan speaker.
“Kita nampak pelbagai alasan dan helah dilakukan daripada isu dan usul itu dibangkitkan,” kata Fahmi kepada The Malaysian Insight.
Minggu lalu, Azhar dalam satu kenyataan berkata beliau tidak mengendalikan usul yang dibuat terhadapnya sebaliknya ia diuruskan oleh Rashid sebagai timbalannya.
“Letaklah secukup mana pun (alasan), mereka tetap enggan melayan (usul),” tambah Fahmi.
Tindakan itu sangat berbeza berbanding semasa bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menerima usul serupa untuk beliau mengosongkan kerusinya, katanya.
“Mungkin kematangan Ariff jelas berbeza dengan apa kita saksikan sekarang.
“Ariff tidak mengelak berhadapan dengan usul, cuma waktu usul itu dibahas beliau tidak berada di situ, namun tak mengelak sewaktu perkara itu diuruskan,” katanya.
Ariff dilantik Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) namun digantikan oleh Azhar apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pada Mac 2020.
Sementara itu, Salahuddin berkata beliau akan membangkitkan sekali lagi usulnya yang sudah ditolak oleh Rashid kerana alasan penolakan itu teknikal.
“Saya akan bangkitkan balik sewaktu sidang nanti,” katanya.
Beliau menghantar usul pada 13 dan 16 Ogos bagaimanapun Rashid menolak kedua-duanya, melalui dua surat balasan bertarikh 18 dan 25 Ogos yang dilihat oleh The Malaysian Insight.
Pemberitahu usul bertarikh 13 Ogos ditolak dengan alasan tiada peruntukan berkenaan pengosongan jawatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengikut Aturan 4(1), mengenai tatacara memilih Tuan Yang di-Pertua.
Pemberitahu usul bertarikh 16 Ogos pula ditolak dengan alasan tidak merujuk peruntukan perundangan yang tepat.
Alasan Rashid sengaja hendak menolak usul itu daripada dibawa ke Dewan Rakyat, kata Salahuddin.
“Itu alasan speaker sahaja untuk tolak usul kami. Dari segi moral, sepatutnya (Azhar) kena kosongkan kerusi kerana hujah beliau tempoh hari tidak tepat, dia tidak betul,” katanya, merujuk pertembungan antara kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembatalan ordinan darurat.
Pada 29 Julai, Istana Negara mengeluarkan kenyataan Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat dan kerajaan Muhyiddin Yassin membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan.
Kenyataan Istana Negara itu secara khusus menyebut Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah “amat dukacita” dengan kenyataan menteri undang-undang pada masa itu Takiyuddin Hassan kerajaan sudah membatalkan semua ordinan darurat.
Takiyuddin kemudian enggan menjelaskan sama ada pembatalan yang beliau umum itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau belum.
Ahli Parlimen pembangkang juga menuduh Azhar cuai dan mengabaikan peranannya sebagai speaker apabila tidak mahu mengarahkan pihak kerajaan membuat penjelasan segera.
“Sepatutnya dia (Azhar) kena letak jawatan,” kata Salahuddin.
The Malaysian Insight cuba mendapatkan maklum balas Rashid, namun beliau enggan mengulas.
Rashid sebaliknya berkata pihaknya hanya akan menjawab kepada pengusul saja.
“Kamu bukan ahli Parlimen, saya hanya jawab kepada pengusul, pun saya tak boleh beritahu (ahli Parlimen mana hantar usul sama), ini urusan ahli Parlimen saja, minta maaf,” katanya ketika dihubungi. – 8 September, 2021.