Iklan

Pinda Perlembagaan untuk sahkan undang-undang anti lompat parti, kata Ariff

Chan Kok Leong3 years ago9th Sep 2021Berita
Mohamad ariff parliament tmikamal 02
Mohamad Ariff Md Yusof berkata kerajaan terpaksa meminda Perlembagaan jika ingin merealisasikan undang-undang anti lompat parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2021.
Iklan

MEKANISME anti lompat parti tidak boleh terlalu rumit agar ia lebih praktikal, forum diberitahu hari ini.

“Ia perlu ringkas kerana pengundi di kawasan bandar seperti Damansara sangat berbeza dengan yang ada di Julau. Tidak akan mudah untuk mencapai nilai ambang dicadangkan,” kata bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof semasa forum Majlis Peguam hari ini.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan itu juga mengingatkan penyokong undang-undang anti lompat parti agar tidak menumpukan semua usaha terhadap perkara ini dengan memintas pindaan Perlembagaan.

Beliau berkata sudah meneliti keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan vs Nordin Salleh dan tidak dapat mencari jalan keluar daripada keputusan itu.

“Jika kerajaan ingin melakukan pembaharuan, ia perlu mengubah Artikel 10 (1) dan 10 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.”

Dalam kes Dewan Negeri Kelantan vs Nordin Salleh yang terkenal pada 1992, Mahkamah Persekutuan memutuskan undang-undang anti lompat parti yang diluluskan oleh DUN Kelantan bertentangan dengan Perkara 10 (1) (c) perlembagaan, yang menjamin kebebasan berpersatuan.

Mahkamah berkata kebebasan berpersatuan termasuk hak untuk berpisah, dan ia tidak berperlembagaan bagi negara mengenakan hukuman terhadap hak tersebut. 

Bagaimanapun, Artikel 10 (2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia membenarkan Parlimen menggubal undang-undang yang menyekat hak asasi tersebut untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan awam.

Ariff bercakap di webinar Anti-Hopping Laws or Recall Elections” anjuran Majlis Peguam pagi ini bersama Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said dan saintis politik, Prof Wong Chin Huat.

Walaupun semua panelis sepakat yang satu mekanisme anti lompat parti diperlukan untuk menghentikan tindakan lompat parti yang semakin menjadi-jadi, ada beberapa perbezaan pendapat tentang bagaimana hal itu patut dilaksanakan.

 Ada yang percaya pindaan perlembagaan diperlukan untuk mengelak seperti kes Nordin Salleh sementara yang lain percaya mekanisme pilihan raya menarik semula mandat atau “recall election” akan mengelak pindaan Perlembagaan yang memerlukan dua pertiga persetujuan Dewan Rakyat. – 9 September, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan