Iklan

Kluster KM20 jadi kluster paling aktif di Sarawak

Desmond Davidson3 years ago9th Sep 2021Berita
Covid-19 swab test petaling jaya epa 270121
Kluster KM20 melaporkan 137 kes baharu yang merupakan sebahagian besar daripada 200 kes dikesan di Betong dalam tempoh 24 jam lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2021.
Iklan

SEBANYAK 137 kes baharu Covid-19 yang dikesan dalam kluster tempat kerja KM20 di daerah Betong, Sarawak menjadikan ia paling aktif berbanding 147 kluster aktif lain, kata jawatankuasa pengurusan bencana negeri hari ini.

Kes baharu dalam kluster ini juga merupakan sebahagian besar daripada 200 kes yang dikesan di Betong dalam tempoh 24 jam lalu.

Dua kluster aktif lain di daerah itu, Bungey II dan Nanga Tapih, masing-masing melaporkan satu kes baharu.

Kluster KM20, pertama kali dilaporkan pada 27 Ogos apabila 23 pekerja sebuah syarikat pembinaan yang tinggal di kuarters pekerja di KM20 lebuh raya Pan Borneo di kawasan Betong - Sarikei, dijangkiti.

Selepas dua minggu, jumlah jangkitan meningkat kepada 531 orang dengan lebih ramai pekerja, ahli keluarga mereka dan orang yang menjadi kontak rapat menjalani ujian saringan.

Statistik jawatankuasa bencana menunjukkan sebanyak 835 orang diarah menjalani ujian Covid-19 dan jumlah jangkitan mungkin meningkat kerana 227 orang masih menunggu keputusan ujian.

Ia memerlukan masa kerana semua sampel yang diambil di Betong dihantar melalui jalan darat ke Kuching untuk diuji.

Sarawak melaporkan 3,118 kes baharu yang tinggi, dua kluster baharu dan sembilan kematian hari ini.

Kluster baharu membabitkan jangkitan komuniti yang melibatkan dua rumah panjang di Bintulu.

Kluster Sungai Segan di Jalan Ulu Sebauh, setakat ini mempunyai 25 penduduk yang positif jangkitannya, sementara kluster Jalan Bintulu-Miri Dua di Batu 17 jalan raya Bintulu - Miri di Lebuhraya Pan Borneo mempunyai 33 jangkitan.

Kedua-dua rumah panjang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan.

Daripada sembilan kematian yang dilaporkan, empat di Kuching dan masing-masing satu di Lubok Antu, Miri, Simunjan, Sibu dan Saratok.

Mereka berumur antara 65 hingga 87 tahun.

Dua melibatkan kematian di luar hospital - seorang lelaki berusia 75 tahun yang disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital Simunjan pada Selasa dan seorang wanita dari Kuching berusia 82 tahun ketika dibawa ke hospital awam Sarawak juga pada Selasa. – 9 September, 2021.

Iklan
Iklan