Tiada pembentangan Ordinan Darurat di Parlimen, walau Agong arah
Iklan
KERAJAAN baharu tidak akan membentangkan Ordinan Darurat pada sidang Parlimen minggu depan walaupun terjadi kontroversi ketika persidangan sebelum ini.
Menurut Peraturan Mesyuarat yang dilihat The Malaysian Insight, kerajaan telah menyenaraikan lapan perkara dalam agendanya.
Agenda pertama berkaitan pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu bagi menggantikan Azalina Othman Said (Pengerang-BN) yang meletak jawatan pada 23 Ogos.
Usul untuk melantik Timbalan Yang di-Pertua baharu disusuli usul memohon tambahan polis bagi menjaga jalan menuju Parlimen dan usul menjunjung kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual menyampaikan Titah Diraja pada Isnin, 13 September.
Selepas itu, kerajaan akan mengusulkan pindaan Akta Levi Keuntungan Luar Biasa, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan pemansuhan Akta Kilang dan Jentera. Ini kemudian diikuti pembentangan Akta Lembaga Angkasa Malaysia dan Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis.
Tidak ada peraturan untuk mengusulkan enam ordinan darurat yang telah diluluskan sejak 11 Januari di Parlimen walaupun ada titah arahan dari Yang di-Pertuan Agong.
Pada 26 Julai, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) mengejutkan negara apabila secara tiba-tiba mengumumkan di Dewan Rakyat kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat pada 21 Julai.
Lebih mengejutkan apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita mengenai pembatalan yang tidak mendapat perkenan Baginda.
Dalam satu kenyataan (29 Julai) oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, Baginda bertitah menegaskan kenyataan Takiyuddin adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Malah Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya perkara itu dibawa dan diuruskan di Parlimen.
Ahmad Fadil memaklumkan Al-Sultan Abdullah juga dukacita kerana proses yang sepatutnya sudah baginda titahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun semasa mereka mengadap baginda secara dalam talian pada 24 Julai lalu.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat,” Kata Ahmad Fadil dalam kenyataan itu.
Susulan titah Yang di-Pertuan Agong itu, Yang di-Pertua Azhar Azizan Harun menangguhkan sesi hari terakhir pada 1 Ogos, menggunakan alasan Covid-19.
Mengulas isu tersebut Ngeh Koo Ham (Beruas-PH) berkata ia tidak berperlembagaan kerana Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan ordinan darurat dibentangkan di Parlimen.
“Apa kesannya jika tidak dibentangkan ketika Parlimen bersidang? Perkara 150 (7) mengatakan ordinan-ordinan itu akan tamat selepas enam bulan setelah Proklamasi Darurat ditamatkan.
“Bagaimana mahkamah akan tafsirkan jika ada kes berkaitan ordinan ini? Adakah ordinan darurat akan terbatal secara automatik apabila peruntukan perlembagaan wajib tidak dipatuhi dan adakah ia akan bertahan hingga 6 bulan setelah Darurat tidak lagi berkuatkuasa?” kata peguam itu.
Menggunakan isu Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional telah mengisytiharkan darurat pada 11 Januari. Sejak itu, jumlah kes Covid-19 terus meningkat mendadak dari 2,200 kes harian menjadi lebih 20,000 kes harian pada bulan Ogos.
Proklamasi Darurat telah tamat pada 1 Ogos. – 11 September, 2021.