Sokong Ismail supaya Bersatu tak jadi pembangkang, kata Muhyiddin
Iklan
BERSATU menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kerana tidak mahu parti itu menjadi pembangkang dan kumpulan kleptokrat kembali menguasai kerajaan, kata Muhyiddin Yassin.
Bekas perdana menteri itu mendakwa, beliau tiada pilihan selain berbuat demikian selepas meletak jawatan apabila 15 ahli Parlimen Barisan Nasional menarik sokongan terhadapnya.
Malah dakwanya Pakatan Harapan akan kembali berkuasa dengan sokongan kumpulan kleptokrat jika Bersatu tidak menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.
Langkah itu juga dibuat untuk memastikan keadaan politik negara kembali stabil, kata presiden Bersatu itu dalam ucapan sempena ulang tahun parti tersebut malam ini.
“Saya berfikiran rasional, kerana itu saya telah berbincang dengan ahli Parlimen Bersatu dan pemimpin parti dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS, STAR, SAPP dan Gerakan serta pucuk pimpinan parti rakan kita iaitu GPS dan PBS supaya mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri yang baharu,” katanya.
Dengan meletak jawatan perdana menteri dan menyokong Ismail Sabri, Bersatu dan parti komponen PN yang lain akan kekal menjadi kerajaan, katanya.
Langkah ini juga akan memastikan usaha memulihkan negara dapat diteruskan sehingga pilihan raya umum dapat diadakan dengan selamat, katanya lagi.
Beliau menjelaskan tindakan Bersatu menyokong naib presiden Umno tersebut menjadi perdana menteri kesembilan selepas beliau meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti.
Para ahli Parlimen Umno itu menarik sokongan ke atas Muhyiddin kononnya disebabkan kegagalannya menangani pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.
Selepas membentuk kerajaan baharu ditunjangi Umno, Ismail seterusnya melantik Muhyiddin mengetuai Majlis Pemulihan Negara semula sebagai pengerusi.
Muhyiddin dalam ucapannya menolak dakwaan beliau memimpin kerajaan yang gagal walau mengakui 2020 sebagai tempoh paling mencabar sepanjang sepanjang kerjaya politiknya.
Katanya, beliau tetap berjaya memperuntukan pakej bantuan kepada rakyat berjumlah RM530 bilion dan menempah 87 juta dos vaksin Covid-19 semasa pentadbirannya.
“Kita sebenarnya tidak gagal. Mereka yang nak lihat kita gagal.
“Kerana itu, semasa kita sibuk mengurus Covid-19, mengurus kebajikan rakyat, mereka sibuk berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan.
“Saya tahu ramai rakyat yang tidak suka dengan perbuatan mereka. Apatah lagi ahli Bersatu yang mahu saya terus kekal memimpin kerajaan PN Tetapi saya mesti patuh kepada perlembagaan persekutuan,” katanya. – 10 September, 2021.