Iklan

Pedofilia Sarawak berselindung di sebalik imej kampung

Desmond Davidson3 years ago12th Sep 2021Berita
Alladin lanim - lundu paedophile - aug 27, 2021
Alladin Lanim mengeksploitasi kanak-kanak berusia antara 2 hingga 16 tahun selama sekurang-kurangnya 14 tahun sejak 2007 tanpa dikesan. – Gambar The Malaysian Insight, 12 September 2021.
Iklan

KETIKA seorang lelaki kampung diringi pegawai polis keluar dari mahkamah Kuching dengan tangan bergari, wartawan yang membuat liputan pada 17 Ogos langsung tidak menyangka di depan mereka adalah seorang pedofilia paling dikehendaki di dunia.

Wartawan Kuching, yang terpaksa mengambil gambar sendiri untuk laporan berita tersebut cuba mendapatkan gambar lelaki yang menyembunyikan wajahnya di sebalik pelitup muka dan topi besbol Adidas hitam.

“Wartawan yang membuat liputan prosiding tahu (jenayah dilakukannya) sangat serius,” kata Hafizah Abdul Hamid, wartawan mahkamah bagi akhbar harian berbahasa Inggeris, Borneo Post.

“Tetapi tiada perbicaraan, jadi tidak banyak yang didedahkan untuk menunjukkan beratnya jenayah dilakukan,” tambah Hafizah.

Beliau berkata apabila Alladin Lanim dihadapkan di tiga mahkamah majistret, prosesnya sangat mudah.

Pekerja ladang kelapa sawit berusia 41 tahun yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas semua 14 pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) dan 15 (e) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibacakan terhadapnya.

Lanim dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan 12 sebatan kerana mencabul budak lelaki.

Modus operandinya adalah dengan memaksa kanak-kanak lelaki menonton video porno sebelum menodainya.

Tiada apa-apa di mahkamah menunjukkan betapa seriusnya jenayah dilakukan seperti dilaporkan dalam akhbar Australia, katanya, memetik laporan Sydney Morning Herald pada 5 September bertajuk: “How Australian police tracked one of world’s most wanted paedophiles to Borneo”.

Akhbar tempatan lain hanya melaporkannya sebagai kes mencabul yang tidak mendapat sebarang perhatian.

Bagaimanapun, Hafizah berjaya melihat kertas pertuduhan yang menyatakan Lanim didakwa kerana “antun seksual kanak-kanak”.

Walaupun dilihat daripada segi penampilannya, Lanim bukanlah orang kampung.

Beliau berpengalaman dalam bidang IT dan teknologi, yang mungkin menjelaskan bagaimana beliau mahir menggunakan Internet dengan mudah dan tidak dapat dikesan.

Laporan Herald berkata Lanim mengeksploitasi kanak-kanak berusia antara 2 hingga 16 tahun selama “sekurang-kurangnya 14 tahun” sejak 2007 tanpa dikesan.

Lanim kemudian dikatakan bermegah melakukan perbuatan dalam forum pemesejan dan memuat naik aktivitinya itu di “dark web”.

The Herald melaporkan “puluhan kanak-kanak” dianiaya dan posting Lanim mengenai kegiatan eksploitasinya menjadikan beliau seorang daripada pelaku seks kanak-kanak paling dikehendaki di dunia.

Namun, bukti itu dikumpulkan oleh penyiasat pakar dari Polis Persekutuan Australia, Polis Queensland dan Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Australia (AUSTRAC) yang membawa kepada penangkapannya. – 12 September, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan