Iklan

Warta segera Pantai Derdap untuk selamatkan penyu, gesa aktivis pemuliharaan

Diyana Ibrahim3 years ago13th Sep 2021Berita
67746485-8ca2-4d8a-bbba-9d38e2e89fa6
Pengasas Kapas Society Club Rani Ahmad (tengah) bersama sukarelawan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2021.
Iklan

KERAJAAN Terengganu perlu mewartakan segera Pantai Derdap di utara Pulau Kapas sebagai kawasan perlindungan penyu bertelur bagi melindungi haiwan yang terancam pupus itu, kata aktivis alam sekitar.

Mereka membuat gesaan kerana bimbang ada rancangan untuk membangunkan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan.

Pengasas Kapas Society Club Rani Ahmad berkata Pantai Derdap menjadi tumpuan penyu datang bertelur kerana kawasannya tersembunyi dan tiada pembangunan.

“Jika pembangunan dilakukan jadi ke mana penyu ini akan pergi. Spesies itu sudah cukup terancam di sini dan kini berdepan dengan masalah penempatan pula,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Terengganu.

Selain masalah pembangunan di tempat bertelur, penyu juga berdepan isu pencuri telur dan penggunaan pukat pari yang berleluasa hingga mengancam nyawa mereka, tambahnya.

Rani, 56, menubuhkan sebuah pusat konservasi penyu sejak April 2021, yang sehingga ini berjaya menyelamatkan kira-kira 5,000 telur penyu. Beliau melakukan usaha itu untuk mengekalkan identiti Terengganu sebagai tempat pendaratan penyu bertelur.

Katanya, sebelum ada pusat konservasi itu, lebih 50% telur penyu dicuri selepas penyu mendarat untuk bertelur.

“Sekarang kita sudah dapat kawal. Kita letakkan sukarelawan untuk berkawal dan selamatkan telur penyu siang dan malam, jadi ia berkurang empat hingga lima peratus,” katanya.

Jabatan Perikanan Terengganu sebelum ini melaporkan hanya dua spesies penyu iaitu agar dan karah yang masih setia mendarat di pantai negeri itu untuk bertelur sementara penyu belimbing kali terakhir dikesan bertelur di pantai Terengganu pada 2017.

Pada Ogos lalu, exco pertanian dan industri makanan Dr Azman Ibrahim berkata, Enakmen Penyu Terengganu 1951 akan dipinda sebelum hujung tahun ini untuk melarang penjualan telur penyu selain penyu belimbing.

Beliau mengakui kerajaan negeri tahu mengenai aktiviti penjualan telur penyu secara terbuka namun tindakan tidak boleh diambil kerana ia tidak diperuntukkan sebagai satu kesalahan mengikut undang-undang.

Pada masa ini, hanya spesies penyu belimbing yang dilindungi melalui undang-undang namun penyu jenis itu sudah empat tahun tidak mendarat di Terengganu.

Sepanjang tahun lalu, Jabatan Perikanan Terengganu juga merekodkan 55 ekor penyu mati, menurun berbanding 78 pada 2019. Namun jabatan itu percaya ada banyak lagi kes kematian yang tidak dilaporkan kepada mereka.

Rani menubuhkan pusat konservasi penyu sejak April 2021 yang sehingga ini menyelamatkan kira-kira 5,000 telur penyu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2021.

Bukan mahu jadi hero

Sementara itu, Rani menggesa jabatan perikanan dan kerajaan negeri supaya lebih tegas menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi penyu, termasuk lebih kerap memantau kawasan perairan.

Beliau membangkitkan isu penggunaan pukat pari yang seharusnya dikawal oleh pihak berkuasa.

Rani yang aktif menjalankan kerja pemuliharaan penyu sejak 1999 berkata, sepanjang pengalamannya beliau sudah menemui lebih 10 ekor penyu mati tersangkut pukat pari.

“Memang punca utama kematian penyu di negeri ini kerana penggunaan pukat pari. Bagi saya nelayan guna pukat pari ini sebab mereka nak senang, jadi mereka tebarkan saja pukat pari.

“Tapi tanpa sedar mereka membunuh penyu sebab apabila penyu terperangkap dalam pukat pari ia akan lemas dan mati.

“Penyu hanya boleh bertahan dua jam saja dalam air, jika tidak ke permukaan ia akan lemas dan pukat pari ini diletakkan biasa dalam 12 jam,” katanya.

Rani berkata, beliau bukan cuba untuk menjadi hero namun menganggapnya satu tanggungjawab sebagai anak jati Terengganu.

“Kalau saya tak buat siapa lagi nak buat, lagipun Pulau Kapas ini dah jadi macam darah daging saya,” katanya yang bekerja di sebuah resort di situ sejak 1999.

Resort tempat dia bekerja mengusahakan sebuah pusat konservasi penyu di Pulau Gemia, dekat Pulau Kapas. Sejak pandemik Covid-19 yang menjejaskan pelancongan, resort itu tidak menyambung lesen pusat konservasi berkenaan.

“Jadi selepas itu keadaan terbiar, tidak ada orang ambil alih jadi saya memutuskan untuk meneruskan apa yang saya lakukan dulu,” katanya.

Rani berkata, selain melindungi habitat penyu, pihaknya juga cuba meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai ancaman yang dihadapi penyu menerusi media sosial.

Setakat ini penerimaan masyarakat terutama generasi muda semakin baik, katanya, terutama selepas insiden perut penyu dibelah yang tular pada Mei lalu.

Biarpun begitu Rani berkata cabaran yang dihadapi ketika ini adalah kekurangan dana memandangkan badannya bergantung kepada sumbangan orang awam.

“Memang cabaran kita sekarang ini dana sebab usaha kita juga perlukan kos terutama sekarang ini kita buat pemantauan siang dan malam,” katanya, menyebut misalnya kos minyak bot berulang alik ke lokasi pendaratan penyu serta elaun atau duit makan untuk sukarelawan. – 13 September, 2021.

Iklan
Iklan