Amaran Agong pada ahli Parlimen, jangan letak negara sebagai taruhan
Iklan
YANG di-Pertuan Agong memberi amaran kepada para ahli Parlimen agar tidak mempertaruhkan negara dan rakyat demi agenda peribadi masing-masing.
Sebaliknya, wakil rakyat berkenaan perlu menumpukan kepada usaha untuk memulihkan negara dari pandemik Covid-19, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat beta sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
“Justeru ingin beta serukan untuk kembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 dan membawa sinar kepada rakyat dan negara tanah tumpah dan darah tercinta ini,” titah baginda.
Dalam ucapan sewaktu istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 itu, baginda juga mengingatkan rakyat sudah lama dibelenggu akibat pandemik yang berlarutan sejak tahun lalu.
Kesusahan yang dihadapi rakyat dalam suasana pandemik sejak lebih setahun lalu disampaikan sendiri oleh oleh rakyat jelata kepadanya melalui surat.
“Terlalu ramai rakyat beta yang terkesan dengan penularan pandemik ini dan terlalu ramai juga rakyat beta yang kehilangan sumber rezeki.
“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.”
Amaran tersebut dibuat ekoran krisis politik yang berlarutan sehingga menyebabkan dua perdana menteri meletak jawatan sepanjang penggal Parlimen ini.
Selepas PRU14, baginda terpaksa melantik tiga perdana menteri, bermula dengan perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad.
Beliau meletak jawatan pada awal tahun lalu ekoran Lagkah Sheraton, melibatkan ahli Parlimen Pakatan Harapan berpaling tadah dan membentuk gabungan baharu dengan PAS dan Umno.
Ia membawa kepada pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang bertahan sehingga bulan lalu.
Muhyiddin yang dilantik baginda sebagai perdana menteri kelapan terpaksa meletak jawatan selepas kumpulan ahli Parlimen Umno menarik sokongan ke atasnya.
Al-Sultan Abdullah kemudian melantik Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu.
Dalam ucapan hari ini, baginda seterusnya merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ismail Sabri Yaakob kerana memberi peluang kepada pembangkang untuk bersama-sama membantu kerajaan.
“Melangkah ke hadapan, beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.”
Kerjasama itu perlu bagi kesepakatan dalam semangat “Keluarga Malaysia”, titah baginda Al-Sultan Abdullah lagi.
“Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi ‘biduk lalu, kiambang bertaut’, sesungguhnya yang menang tidak menang semua, dan yang kalah tidak kalah semua.
“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah Keluarga Malaysia sahajalah, kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah baginda lagi.
Seruan itu timbul sewaktu para pemimpin kerajaan parti pembangkang bakal menandatangani perjanjian persefahaman bagi transformasi dan kestabilan politik petang ini.
Sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari bermula hari ini dan berakhir pada 12 Oktober manakala Dewan Negara menyambung persidangan dari 4 hingga 26 Oktober depan.
Ia dijangka akan menumpukan kepada isu pemulihan negara susulan pandemik Covid-19 dan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) selain usaha transformasi Parlimen.
Persidangan Parlimen ditangguhkan sejak awal tahun ini ekoran pandemik Covid-19 dan juga perisytiharan darurat bermula 12 Januari hingga 1 Ogos.
Bagaimanapun, ahli Parlimen bertemu dalam sidang khas Dewan Rakyat yang diadakan semasa majlis dalam tangguhan pada 26 Julai lepas.
Sidang khas yang sepatutnya berlangsung selama lima hari itu kemudian ditangguhkan selepas empat hari bersidang susulan penularan kes positif Covid-l-19 di bangunan Parlimen. – 13 September, 2021.