Paip air pecah kerana kerja korek pasir di Sungai Terengganu, kata exco
Iklan
HAKISAN tanah akibat aktiviti korek pasir punca kejadian paip pecah dua kali di dasar Sungai Terengganu pada Ogos lalu, kata exco kerajaan negeri.
Bagaimanapun syarikat pasir berkenaan tidak wajar dipersalahkan, kata Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Mamat Puteh, kerana aktiviti itu sudah lama berlaku dan diluluskan oleh kerajaan terdahulu.
“Kita tahu projek paip air ini mula 2003 dan paip air ditanam yang bersaiz 1,200 milimeter siap pada 2016… tahun itu juga lesen dikeluarkan,” katanya, menjawab soalan lisan di Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Mamat turut mempersoalkan kenapa tiada agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya(JKR) atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang memberi ulasan bahawa tempat aktiviti korek pasir itu berhampiran dengan jajaran paip air sewaktu Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN) mahu menyambung lesen tersebut.
Katanya lagi dalam tempoh 10 tahun ini, kerajaan negeri meluluskan lesen operasi kepada 12 pengusaha pasir di kawasan sekitar jajaran paip air.
“Daripada 10 itu hanya tujuh syarikat yang masih aktif lagi dan pengusaha pasir yang paling hampir dengan jajaran paip air diluluskan pada 2016 ialah syarikat Khairuddin dan lesennya akan berakhir pada 31 Disember ini,” katanya.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan penduduk mendakwa gangguan bekalan air dua kali sehingga lebih empat minggu di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu baru-baru ini berpunca daripada projek korek pasir di Sungai Terengganu sejak lima tahun lepas.
Penduduk Kampung Sekati di Kuala Terengganu berkata mereka sudah lama menyuarakan kebimbangan mengenai projek itu, yang bukan saja mengancam jajaran paip di dasar sungai tetapi menghakis tanah.
Walaupun sudah banyak kali diadu, mereka tidak nampak ada tindakan diambil – sehinggalah insiden paip pam pecah di dasar Sungai Terengganu pada 2 Ogos yang menyebabkan hampir 30,000 pengguna di dua daerah terganggu bekalan air.
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man kemudian menafikan aktiviti lombong pasir menyebabkan paip pecah di Sungai Terengganu dan 150,000 pengguna putus bekalan air mentah. – 14 September, 2021.