Pelancong ke Langkawi wajib jalani ujian saringan Covid-19, kata menteri
Iklan
MEREKA yang bercadang ke Langkawi bermula 16 September perlu mengambil ujian saringan Covid-19 sebelum masuk ke pulau pelancongan itu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin.
Ia peraturan baharu diperkenalkan kerajaan.
Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menggesa kerajaan mewajibkan ujian saringan dilakukan kepada pelancong.
Khairy berkata pelancong boleh menunjukkan slip keputusan ujian PCR/Antigen yang diambil dalam tempoh 48 jam sebelum ke pulau itu atau membeli kit ujian dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk membuat ujian di tempat saringan.
Katanya, pelancong juga dibenarkan membeli kit ujian di tempat saringan dan melakukan ujian serta merta di lapangan terbang atau terminal feri.
Khairy berkata, ujian itu akan dilakukan pada semua individu yang berusia tujuh tahun ke atas.
Bagi kanak-kanak bawah tujuh tahun, hanya saringan gejala akan dilakukan, dengan mengambil kira kemampuan mereka untuk mengeluarkan air liur.
Beliau berkata kanak-kanak perlulah diiringi ibu bapa atau penjaga yang sudah mendapatkan vaksinasi lengkap, bebas Covid dan perlu mematuhi SOP ditetapkan.
“Ujian Covid-19 yang dilakukan di lapangan terbang dan terminal feri akan dipantau dan disahkan oleh pegawai kesihatan bertugas.”
“Mereka yang lulus ujian saringan akan dibenarkan masuk, sementara yang positif tidak boleh meneriskan perjalanan dan akan diurus oleh petugas kesihatan.”
Sebelum ini ujian tidak wajib dilakukan, pelancong yang sudah mendapat vaksinasi lengkap dibenarkan mengunjungi pulau itu.
Mulai Khamis, pelancong domestik dari seluruh negara, kecuali mereka yang tinggal di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan, dibenarkan mengunjungi Langkawi.
Orang ramai boleh menginap di hotel atau inap desa, pergi ke pantai, terlibat dalam sukan air, snorkeling, selam skuba, dan mengunjungi taman dan tempat warisan. – 15 September, 2021.