Iklan

Tunggu RUU355 untuk laksana hudud, kata exco Terengganu

Diyana Ibrahim3 years ago15th Sep 2021Berita
Ruu355 tmi nazirsufari 01  full
Sehingga sekarang, RUU 355 belum lagi dibahas di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.
Iklan

TERENGGANU bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu, kata exco Satiful Bahri Mamat, tertakluk pada kelulusan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen.

Kerajaan negeri pada masa ini hanya menunggu Parlimen meluluskan rang undang-undang persendirian untuk meminda bidang kuasa mahkamah syariah dalam soal jenayah, yang dikemukakan di Dewan Rakyat pada 2016, kata exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.

“Memang kita sudah bersedia (untuk laksana hudud). Kalau diluluskan, insyaAllah pihak kita boleh meluaskan pelaksanaan undang-undang Islam ini.

“Sebenarnya Terengganu sudah laksanakan cuma takzir saja. Untuk hudud dan qisas belum lagi sebab kita tidak mahu ada kontroversi, jadi kita tunggu RUU355 diluluskan,” katanya kepada media selepas sidang Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu, hari ini.

Mahkamah syariah pada masa ini mempunyai bidang kuasa terhad hanya boleh mengenakan hukuman tidak lebih tiga tahun penjara, enam kali sebatan dan RM5,000, atau biasa juga disebut sebagai bidang kuasa 365.

Satiful menjelaskan RUU355 akan memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah.

Adun Paka berkata Terengganu tiada masalah untuk melaksanakan hudud kerana undang-undang mengenainya iaitu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu sudah diwartakan sejak hampir 20 tahun lalu.

“Perincian semua sudah dibuat sebab Terengganu sudah wartakan enakmen tersebut cuma kita tangguh dulu sebab tak mahu ada konflik dengan enakmen atau akta sedia ada.

“Tetapi bila sudah luluskan kita akan terus laksanakan mengikut peruntukan yang dibenarkan di bawah RUU355,” katanya.

Mengenai penolakan masyarakat bukan Islam, Satiful berpendapat ia tidak berasas kerana majoriti penduduk negeri beragama Islam.

Kerajaan pimpinan PAS juga giat melakukan sesi penerangan dan bengkel kepada badan bukan kerajaan serta penguatkuasa, pendakwa dan hakim syariah.

“Kita juga akan buat bangunan baru mahkamah syariah di Kemaman supaya kita bersedia dari segi infrastruktur yang lebih kondusif dan ke arah pelaksanaan undang-undang hudud yang lebih baik,” katanya.

Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang, yang juga presiden PAS, mengusulkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016. 

Usul itu mencadangkan hukuman lebih tinggi di mahkamah syarikat mengikut hukum syarak kecuali hukuman mati.

Pada November 2016, Hadi mengemukakan pindaan kepada usul pertama dibuat pada 26 Mei dengan mencadangkan hukuman denda RM100,000, penjara 30 tahun dan sebat 100 kali.

Pada 6 Mei 2017, Hadi mencadangkan semua usul sama tetapi tidak dibahaskan kerana  Dewan Rakyat menangguhkan perbahasannya. Sehingga sekarang, RUU 355 belum lagi dibahas. – 15 September, 2021.

Iklan
Iklan