Peguam muda Sarawak antara terlibat desak iktiraf Hari Malaysia
Iklan
SEBAHAGIAN besar rakyat mungkin menganggap Hari Malaysia sekadar cuti umum biasa, namun tidak bagi peguam muda kelahiran Kuching, Aubrey Ng.
Bagi Aubrey, 16 September adalah hari untuk merenung secara mendalam bersama senyuman tentang bagaimana beliau memainkan peranan mengangkat hari ulang tahun penubuhan Malaysia itu sebagai hari paling penting dalam sejarah negara.
Aubrey, anak perempuan sulung bekas ketua PKR Sarawak dan Adun Dominique Ng, adalah sebahagian daripada kumpulan yang menyokong usaha ayahnya berkempen mengiktiraf Hari Malaysia.
Ramai berterima kasih kepada Ng yang mendorong 16 September diiktiraf secara diperingkat kebangsaan kerana ia jauh lebih penting bagi rakyat Sarawak berbanding Hari Merdeka 31 Ogos.
Sarawak diberi kemerdekaan oleh British pada 22 Julai 1963, dan menjadi negeri autonomi ketika pembentukan Persekutuan Malaysia dengan Semenanjung, Sabah dan Singapura. Republik Singapura kemudiannya tinggalkan Malaysia pada 1965.
Selama hampir sedekad, dari 2005 hingga 2014, Ng dengan setia mengadakan majlis menaikkan bendera Malaysia dan Sarawak di Padang Merdeka Kuching dengan cuma dihadiri hanya segelintir nasionalis yang berfikiran sama.
Setiap kali 16 September tiba, Aubrey akan turut serta bersama kumpulan rakan ayahnya membantu mengatur majlis.
“Ya, anda boleh kata saya main peranan kecil menyokong ayah saya untuk iktiraf Hari Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mula hadir ke majlis itu ketika remaja, dan ingatannya yang paling jelas adalah tentang kehadiran ramai anggota polis.
“Ada lebih ramai polis berbanding kami waktu itu.”
Sebelum Sabah dan Sarawak mula mengiktiraf Hari Malaysia pada 2010, setiap majlis itu sering dianggap sebagai tindakan “antikebangsaan”.
“Dulu rasa macam kita buat sesuatu yang memberontak kerana setiap kali kita kibar bendera, polis akan cuba hentikan kami dengan alasan kami mengadakan perhimpunan haram,” kata Aubrey.
Katanya, kehadiran polis menimbulkan rasa ingin tahu orang yang lalu lalang yang “terrtanya-tanya apa yang sedang kami buat”.
Ayah Aubrey kemudian menulis dalam diarinya “Ingatan Saya Tentang Hari Malaysia” mengenai bagaimana polis mengganggu minta beliau menghentikan tindakannya itu.
Ng berkata mereka akan menuntut untuk tahu adakah beliau mendapat permit untuk mengadakan perhimpunan.
Ng acap kali memberitahu mereka tiada gunanya mendapatkan permit sebab beliau tidak akan diberikan permit.
Aubrey berkata pendidikan formal pada Hari Malaysia bermula lewat - ketika beliau masih di sekolah menengah. Sama ada ketika beliau di Tingkatan 1 atau 2, katanya.
Katanya ketika beliau sedar Hari Malaysia tidak disebut dalam buku teks sejarah, beliau bertanya kepada guru sejarahnya.
“Kenapa kita (Sarawak) sambut Hari Merdeka tetapi bukan Hari Malaysia,” kantanya mengingat kembali soalan yang pernah diajukan kepada guru sejarahnya di SMK St Teresa.
Jawapan pendek gurunya: “Saya pun tidak tahu mengapa”.
Aubrey meluahkan kesedihan bagaimana para guru tidak tahu sepenuhnya tentang matapelajaran yang sepatutnya mereka ajar.
Kali terakhir Aubrey menyertai ayahnya untuk upacara menaikkan bendera pada 2014.
Ketika itu beliau yang berusia 22 tahun berdiri di sebelah ayahnya yang berpakaian formal untuk membaca pengisytiharan Sarawak.
Beliau turut diberikan peluang menaikkan bendera ketika itu.
Seperti biasa, mereka disertai oleh segelintir rakan.
Ia diadakan di waterfront kerana tempat biasa mereka iaitu Padang Merdeka, adalah tempat Hari Malaysia peringkat kebangsaan diadakan pada waktu petang.
“Saya rasa, Hari Malaysia bermaksud, akhirnya Sarawak dan Sabah dilihat sebagai entiti yang lebih besar,” katanya.
Aubrey berkata selama empat tahun di Semenanjung, beliau merasakan dan mengalami bagaimana “kita orang-orang Malaysia timur dianggap sebagai tambahan”.
“Tidak pernah jadi sebahagian daripada Malaysia. Jadi pada pendapat saya, mengiktiraf Hari Malaysia adalah tonggak sejarah bagi kita rakyat Malaysia timur.” – 16 September, 2021.