Iklan

Memorial dalam talian dilancar peringati mangsa Covid-19 

Aminah Farid3 years ago16th Sep 2021Berita
Memoriyasl
Iklan

SEKUMPULAN sukarelawan memulakan memorial dalam talian hari ini bagi memperingati mangsa yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.

Memorial ini membolehkan orang ramai berkongsi cerita mengenai mereka yang sudah meninggal dunia.

Setakat ini lebih 22,000 individu meninggal dunia akibat pandemik Covid-19, dan ia dijangka akan terus meningkat.

“Bagi mengenang dan menghormati setiap individu yang terkorban akibat virus korona (coronavirus) sejak pandemik ini mula menyerang Malaysia, sebuah memorial dalam talian, Memorial Covid-19 Malaysia dibangunkan.

“Memorial ini memperoleh data daripada perkongsian waris atau keluarga arwah/mendiang melalui laman web yang dihebahkan mulai 31 Ogos lalu. Kami juga membuka ruang kepada semua orang untuk meninggalkan komen dan berkongsi cerita bersama arwah/mendiang di memorial arwah/mendiang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Setakat pukul 10 pagi hari ini, laman web Memorial Covid-19 Malaysia dilancarkan hari ini dan mempunyai kira-kira 300 monumen individu, menurut kenyataan itu.

Organisasi itu turut menetapkan hari ke 19 setiap bulan sebagai hari untuk memperingati, dan meminta orang ramai membuat memorial dalam talian untuk insan tersayang mereka yang sudah meninggal dunia akibat Covid-19.

“Kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk turut berkongsi cerita bersama orang tersayang pada tanggal ini melalui media sosial masing- masing dengan menggunakan #c19memorialmy dan mention/tag covid19memorialmy.

“Diharapkan memorial ini dapat dijadikan satu simbol ingatan berkekalan kepada setiap individu yang meninggalkan kita akibat pandemik ini,” kata kumpulan itu.

Bagi memastikan laman itu boleh diakses oleh semua golongan, kumpulan itu turut bekerjasama dengan Bolehspace. Hasilnya, memorial ini berjaya menawarkan pilihan paparan mesra disleksia, teks alternatif serta penetapan paparan yang sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan.

Ia turut menyediakan rujukan bantuan bagi kesihatan mental serta pautan kepada agensi-agensi yang menawarkan bantuan menghadapi pandemik ini.

Sekumpulan 22 orang sukarelawan menawarkan diri untuk membina laman web berkenaan.

Ia bermula daripada satu tweet Aidila Razak pada 6 Ogos lalu yang menyuarakan idea membangunkan memorial bagi memperingati mangsa Covid-19.

Ini bermula pada 6 Ogos ketika Malaysia merekodkan kes kematian mencecah 10,000 orang.

Perbincangan pertama kali diadakan secara dalam talian pada 10 Ogos, dan ramai sukarelawan dari pelbagai latar belakang mengambil bahagian.

Kementerian Kesihatan merekodkan 422 kes kematian Covid-19 tengah malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kepada 22,009.

Menurut data kementerian berkenaan, hanya lima mangsa yang meninggal dunia akibat wabak itu semalam. Baki 415 adalah kes backlog (tertunggak) yang tidak dilaporkan sebelum ini. – 16 September, 2021.

Iklan
Iklan