Sarawak batal larangan makan di premis di 8 daerah
Iklan
WALAUPUN jumlah kes Covid-19 masih tinggi, Sarawak menarik balik larangan makan di premis yang dikenakan di lapan daerah di negeri itu.
Jawatankuasa pengurusan bencana negeri berkata, restoran. kedai kopi dan premis makanan lain di daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu boleh meneruskan semula kehidmat makan di premis bermula Isnin.
Menurut jawatankuasa berkenaan, premis terbabit bagaimanapun hanya dibenarkan berbuat demikian sekiranya mematuhi dua syarat yang ditetapkan.
Syarat pertama adalah pengusaha atau pemilik premis, pekerja dan pelanggan mereka sudah melengkapkan vaksinasi dan kedua pengudaraan premis perlu memenuhi keperluan dan standard yang ditetapkan Kementerian Permahan dan Kerajaan Tempatan negeri.
Masa operasi kekal tidak berubah – bermula pukul 5 pagi hingga 10 malam.
Kadar kes tinggi di lapan daerah berkenaan menyebabkan ia kekal di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala daerah lain sudah memasuki fasa 3.
Daripada 3,480 kes jangkitan baharu yang direkodkan hari ini, 996 adalah di daerah Kuching.
Serian mencatatkan kedua tertinggi dengan 442 kes.
Tiga kematian turut direkodkan hari ini masing-masing di Kuching, Sarikei dan Sibu.
Sementara itu, mengenai perjalanan rentas daerah, jawatankuasa berkenaan mengulangi kenyataan bahawa ujian saringan Covid-19 tidak lagi diperlukan bersama permit perjalanan.
Keputusan itu dibuat pada 10 September.
Hanya permit polis diperlukan untuk melakukan perjalanan, kata jawatankuasa berkenaan.– 17 September, 2021.