Iklan

Polis Selangor tumpas sindiket dadah 

Kalidevi Mogan Kumarappa3 years ago20th Sep 2021Berita
Pc polis serdang tmi 01
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain menunjukkan sebahagian daripada rampasan yang dibuat di sekitar Lembah Klang pada sidang media di IPD Serdang hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 September, 2021
Iklan

POLIS Selangor menumpaskan satu sindiket yang dipercayai memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah termasuk kokain untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain berkata tujuh individu ditahan termasuk lima warga asing menerusi beberapa serbuan yang dijalankan bermula 10 hingga 16 September di sekitar Lembah Klang.

“Sebanyak 174 guni bahan seberat 5.5 tan untuk memproses dadah jenis MDMA dan syabu dirampas dalam siri operasi sekitar Lembah Klang.

“Kami turut merampas 4.87 kilogram dadah jenis kokain. Siasatan mendapati dadah itu akan dihantar ke Hong Kong dan Qatar selain untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media.

Menurut Razarudin, penagihan kokain terkenal di Amerika Syarikat (AS) tetapi bukan untuk pasaran tempatan.

“Disebabkan itu, kami cuba untuk membasminya dari awal.

“Harga kokain juga terlalu mahal atau setanding dengan harga emas,” katanya.

Menurutnya, polis juga sedang menyiasat lokasi asal kokain itu sama ada dari Colombia, Mexico atau AS.

“Kami turut merampas wang tunai, kenderaan dan jam tangan mewah yang dianggarkan bernilai RM1.22 juta.

“Kami percaya mereka aktif menjalankan kegiatan ini lebih enam bulan lalu. Mereka ada pembeli dalam negara dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal mendapati hanya seorang lelaki warga asing positif dadah.

Kesemua individu tersebut ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957. – 20 September, 2021

Iklan
Iklan