Umno beri masa Ismail Sabri buktikan pencapaian 100 hari, kata pemimpin parti
Iklan
UMNO kini dalam tempoh bertenang, menunggu tempoh 100 hari yang ditetapkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menilai prestasi pentadbiran beliau dan jemaah menterinya, kata pemimpin parti,
Ahli Umno di akar umbi umumnya memberi masa kepada Ismail Sabri untuk membuktikan kepimpinannya membawa Malaysia keluar daripada pandemik Covid-19, kata mereka.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Nizham Abdullah Hamidi berkata akar umbi merasakan tidak wajar untuk menilai pentadbiran perdana menteri ketika ini sedangkan pemimpin itu sudah menetapkan tempoh 100 hari.
“Bagi akar umbi tempoh 100 hari itu merupakan ‘cooling period’ dan hari ke-101 itulah baharu kita akan tahu apa prestasi dan sama ada janji yang dibuat perdana menteri tertunai atau tidak.
“Saya sebagai ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan tanpa segan silu akan mengkritik jika apa yang dijanji oleh perdana menteri tidak berlaku.
“Bagi saya, kita kena berlaku adil,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada masa sama, Nizham berkata Pemuda Umno mahu menjadi agen semak dan imbang kerajaan, dan bukan lagi dilihat perlu mempertahankan agenda dan dasar kerajaan.
Semasa mengumumkan barisan Jemaah Menteri pada 27 Ogos, Ismail Sabri mengumumkan pentadbirannya menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.
Beliau juga mentetapkan 100 hari untuk semua kementerian membuktikan pencapaian awal sasaran jangka panjang dan jangka pendek masing-masing.
Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran daripada Muhyiddin Yassin yang letak jawatan pada 16 Ogos selepas sekumpulan ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya sebagai perdana menteri.
Jemaah Menteri kemudian melantik semula Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sementara Ismail Sabri memeterai persefahaman dengan Pakatan Harapan untuk mendapatkan sokongan demi kestabilan politik dengan janji antaranya reformasi institusi.
Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapa Yaakob mengakui ada ahli Umno yang tidak puas hati dengan pentadbiran Ismail Sabri kerana melantik semula Muhyiddin, yang pentadbirannya dianggap gagal menangani Covid-19.
Tetapi Ismail Sabri tidak mampu memuaskan hati semua orang, terutama ahli Umno, tambahnya.
“Beliau sendiri orang Umno… jangkaan orang Umno terlalu tinggi kepada beliau,” katanya.
Bagaimanapun, Mustapa berpendapat tidak timbul isu Ismail Sabri melebihkan Perikatan Nasional atau Bersatu apabila melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN.
Keputusan itu mungkin atas pengalaman Muhyiddin yang terlibat menangani krisis Covid-19 semasa menjadi perdana menteri, katanya.
“Ismail ada cara sendiri untuk melaksanakan dasar dan polisinya. Apa yang penting kita mesti memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kebolehan dan kemampuannya sebagai perdana menteri.
“Terutamanya dalam tempoh 100 hari yang telah ditetapkan kepada anggota kabinetnya untuk menunjukkan prestasi masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii berkata ahli Umno faham keputusan Ismail Sabri setakat ini semuanya demi kestabilan politik dan memulihkan negara daripada krisis akibat penularan Covid-19.
“MoU bersama pembangkang amat diperlukan kerana kita tidak boleh biarkan negara terjerumus dalam ketidakstabilan politik.
“Pelantikan Muhyiddin juga tidak memberi banyak kesan kerana beliau hanya bertugas beri cadangan nasihat sahaja,” katanya. – 21 September, 2021.