Tinjauan dapati ramai wanita bawah 30 tahun alami gangguan seksual
Iklan
SATU tinjauan mengenai keselamatan wanita mendapati kebanyakan yang berusia 18 hingga 30 tahun pernah mengalami satu bentuk gangguan seksual atau lain.
Sebahagian besar mereka diganggu secara seksual semasa membuat aktiviti seharian mereka seperti berjalan menuju kereta atau di jalanan, dan tidak rasa selamat walaupun dirawat doktor lelaki.
Mereka juga rasa keselamatan mereka terancam seperti ketika memandu sendirian pada waktu malam atau menonton wayang seorang diri, menurut Kajian Gangguan Seksual Kebangsaan yang dibuat terhadap 1,056 wanita berusia 18 hingga 30 tahun, dari 24 Ogos hingga 15 September.
Tinjauan ini merupakan kerjasama antara Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik (Cent-GPS) dengan All Women’s Action Society (Awam),
Dari jumlah yang ditinjau, 57% pernah mengalami gangguan seksual secara lisan ketika dijalanan, sementara 22% berkata mereka pernah diganggu sekali.
Semasa dalam perjalanan atau ketika guna pengangkutan awam, 71% berkata mereka terpaksa ubah laluan atau rutin perjalanan mereka kerana takut diganggu secara seksual.
Mengenai memandu seorang diri pada waktu malam, 68% berkata mereka tidak rasa selamat, 17% berkata mereka tidak tahu, sementara 15% berkata mereka rasa selamat.
Selain itu, 25% berkata bahawa mereka pernah diikuti waktu pulang ke rumah sekali dan 21% berkata mereka pernah diikuti sewaktu berjalan ke kereta.
Ketika ditanya adakah mereka rasa selamat menonton wayang di pawagam seorang diri, 52% berkata tidak, 37% berkata mereka rasa selamat, sementara 11% berkata tidak tahu.
Mengenai dikacau dalam ruang tertutup dan disentuh, 10% berkata mereka pernah diganggu secara seksual waktu dalam lif, sementara 57% berkata mereka pernah disentuh di lutut atau di punggung.
Mengenai sentuhan dan provokasi seksual dari ahli keluarga, 18% berkata mereka pernah mengalaminya, 3% berkata mereka tidak tahu, sementara 79% berkata tidak pernah.
Ketika ditanya adakah mereka rasa tidak selamat semasa dirawat oleh doktor lelaki, 37% berkata ya, 11% tidak pasti, 52% tidak.
Ditanya mengenai jenaka seksual dan media sosial, 44% berkata bahawa mereka ada pengalaman jenaka provokasi seksual oleh guru, sementara 30% berkata mereka selalu mendapat mesej seksual yang tidak diingini di media sosial.
41% juga berkata mereka mendapat mesej seperti itu sekali. – 21 September, 2021.