Iklan

Vaksinasi jumpa terus diperbanyak di CAC tidak lama lagi, kata KJ

Screenshot 2021-09-22 at 11.18.53
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan berusaha kurangkan jumlah BID selain mahu meningkatkan kesedaran rakyat agar kes Covid-19 dapat dipantau dengan lebih berkesan. – Gambar Youtube The Malaysian Insight, 22 September, 2021.
Iklan

VAKSINASI secara jumpa terus akan diperbanyakkan lagi di pusat penilaian Covid-19 (CAC) bagi mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Kita sudah pun beralih kepada walk-in (jumpa terus) untuk CAC. Sebagai contoh di Selangor kita sekarang ini tak perlu lagi ada janji temu dan dibenarkan secara jumpa terus, dan di beberapa negeri telah pun beralih kepada secara jumpa terus disebabkan jumlah kes Covid-19 yang makin menurun,” kata Menteri Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan berusaha mengurangkan jumlah BID dan ingin meningkatkan kesedaran masyarakat agar kes Covid-19 dapat dipantau dengan lebih berkesan.

“Kita juga sedang meningkatkan keberkesanan CAC maya untuk memastikan bahawa mereka yang melaporkan ujian positif, yang bergejala, dapat dihubungi melalui sama ada robocall atau pun panggilan daripada sukarelawan di pejabat kesihatan daerah.

“Langkah ini bagi memastikan mereka yang diuji positif dapat dibawa secepat mungkin untuk kita kurangkan jumlah BID,” tambahnya.

Khairy berkata demikian menjawab soalan Mohd Fasciae Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) mengenai keberkesanan CAC dalam merawat pesakit Covid-19.

Putrajaya melancarkan CAC maya pada 24 Julai berikutan lonjakan kes di Lembah Klang. Kini terdapat 209 CAC di seluruh negara.

Pada 9 September dilaporkan sebanyak 2,417 kes atau 86% kes BID tidak dipantau oleh mana-mana pihak kesihatan.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 23,744 kematian Covid-19 dengan 92 kes BID baharu. Pada masa ini, terdapat 207,698 kes aktif termasuk 1,154 di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 633 memerlukan alat bantuan pernafasan. – 22 September, 2021.

Iklan
Iklan