Iklan

KKM kekalkan hospital Covid-19 hingga wabak reda, kata Khairy

Khairy jamaluddin 090921 - ministry of health
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata lebih banyak hospital hibrid akan diwujudkan untuk rawatan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2021.
Iklan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengekalkan semua hospital Covid-19 di seluruh negara ketika ini sehingga negara berjaya mengawal wabak dengan lebih baik, kata Khairy Jamaluddin (Rembau-BN) kepada Dewan Rakyat.

“Buat masa ini, kami akan mengekalkan hospital Covid-19 di seluruh negara sehingga wabak ini dapat ditangani dengan lebih baik.

“Kami tidak pasti berapa lama, tetapi dengan pengurangan kemasukan ke hospital, lebih banyak hospital hibrid akan didirikan untuk rawatan Covid-19 dan hospital Covid-19 akan ditukar kembali kepada hospital biasa,” menteri kesihatan kata.

Susulan peningkatan jangkitan pada Jun di Lembah Klang, Hospital Ampang, Hospital Selayang dan Hospital Kanak-kanak Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia adalah antara beberapa yang ditukar menjadi hospital Covid-19.

“Dengan meningkatnya kes di Lembah Klang, kementerian mengambil alih hospital di bawah Ordinan Darurat. Ini membolehkan peningkatan kapasiti rawatan rapi.”

Beberapa hospital medan lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Sultanah Aminah di Johor dan Hospital Medan Labuan juga didirikan.

“Inisiatif ini (hospital medan) dilakukan dengan bantuan Angkatan Tentera dan Mercy Malaysia.”

Khairy berkata dengan peningkatan kapasiti hospital, terdapat juga keperluan untuk lebih banyak petugas kesihatan.

Justeru, beliau mengarahkan pasukan petugas tindak balas segera negara untuk ditubuhkan agar pekerja kesihatan ini dapat dikerahkan ke daerah yang menghadapi lonjakan jangkitan Covid-19.

“Di Pulau Pinang, kami sudah mengerahkan 223 pekerja kesihatan, termasuk 57 pegawai perubatan, 36 jururawat, 62 penolong pegawai perubatan.

“Di Kedah, di mana ada wabak, kami mengerahkan 152 pekerja penjagaan kesihatan. Di Sabah, 102 pekerja kesihatan dikerahkan.

“Kami akan menggilir mereka untuk memastikan terdapat cukup kakitangan perubatan di kawasan lonjakan dan barisan depan di negeri tersebut tidak akan terbeban dengan tugas tambahan.”

Sementara itu Khairy berkata, sebanyak RM593 juta dibelanjakan bagi perolehan darurat peralatan tambahan hospital yang diperlukan bagi merawat kes Covid-19 sejak dua tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Tambahnya, perolehan yang dibuat pada 2020 dan tahun ini (2021) telah diagihkan mengikut keperluan ke semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Ia termasuk peralatan seperti katil pesakit biasa, katil pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU), ventilator, ultrabunyi, body freezer, kontena mayat, silinder oksigen dan lain-lain lagi.

“Ini tidak termasuk sumbangan peralatan yang diterima dari dalam dan luar negara yang bernilai RM148 juta,” katanya menjawab soalan Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) yang meminta Khairy menyatakan status kebolehupayaan alatan hospital kerajaan yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19. – 22 September, 2021.

Iklan
Iklan