Sekolah dibuka elak pelajar ketinggalan, kata Radzi Jidin
Iklan
KERAJAAN memutuskan untuk tetap membuka semula sesi persekolahan kerana tidak mahu pelajar terus ketinggalan dalam pendidikan berbanding negara lain, kata Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.
Beliau berkata kerajaan boleh saja menutup sesi persekolahan sehingga hujung tahun namun ia bukan langkah wajar untuk terus membiarkan pelajar tercicir dalam pelajaran.
“Saya sedar bahawa ramai yang kata kenapa tak tutup sekolah saja sampai hujung tahun dan masuk tahun depan.
“Tapi sekiranya kita berbuat demikian, anak-anak kita akan semakin renggang dengan sistem persekolahan untuk satu tempoh yang lama.
“Jalan paling mudah bagi kami tutup sehingga tahun depan namun sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita mengambil pendekatan yang terbaik,” katanya semasa menggulung perbahasan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Bebas) membangkitkan impak jangka masa panjang mengenai penutupan sekolah disebabkan pandemik Covid-19.
Beliau berkata kajian Unesco menunjukkan kadar penutupan sekolah di Malaysia tiga kali ganda berbanding global.
Awal bulan ini, Radzi mengumumkan perincian pembukaan sesi persekolahan berkuatkuasa 3 Oktober.
Katanya, pembukaan sekolah akan mengikut sistem penggiliran secara mingguan untuk kelas secara fizikal di negeri di bawah Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagi negeri di bawah Fasa 1 dan 2, sekolah kekal ditutup kecuali bagi pelajar yang akan menghadapi peperiksaan utama.
Sementara itu, Radzi berkata kerajaan akan menanggung kos ujian kendiri Covid-19 yang diwajibkan kepada pelajar sekolah biasa dan asrama, melibatkan kos RM60 bagi setiap pelajar.
Pada masa sama beliau menafikan pelajar perlu membayar sendiri kos ujian kendiri Covid-19 seperti yang berlaku di sekolah di Klang.
Radzi berkata isu mengenai pembayaran kit kendiri Covid-19 di Klang timbul akibat adanya masalah komunikasi.
“Tapi kita sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah PPD Klang untuk tidak mengenakan sebarang bayaran bagi ujian kit kendiri Covid-19,” katanya. – 22 September, 2021.