Anwar mahu Parlimen bahas isu tangkapan tiga pegawai SPRM
Iklan
DEWAN Rakyat perlu membahaskan isu penangkapan tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kes tersebut melibatkan banyak pihak berkuasa dan sejumlah besar wang, justeru ia perlu dibahas supaya kerajaan perjelaskan langkah selanjutnya.
“Kes ini antara yang agak serius. Kebelakangan ini bukan sahaja membabitkan kecuaian SPRM, ini pegar makan padi, membabitkan polis kerana ini sudah jadi urusan polis, (membabitkan) Bank Negara kerana pemalsuan wang ini besar… dan juga Kementerian Kewangan.
“Sebab itu saya mohon Tuan Yang di-Pertua, berilah ruang perkara ini dibahaskan supaya kita dapat penjernihan tentang permasalahan ini dari sudut tindakan dan keberkesanan diambil oleh kerajaan,” katanya.
Pagi ini Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mengemukakan usul untuk membahas perkara itu, di mana Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata akan menjawabnya secara bertulis kepadanya pada pukul 2.30 petang.
“Oleh sebab ini berkait kepentingan awam, ia perlu dipercepat dan saya minta agar usul ini diizinkan.”
Melalui satu ciapan di Twitter Fahmi berkata beliau diberitahu Setiausaha Dewan Rakyat yang Azhar hanya akan menjawab usul dikemukakannya pada pagi esok
Pada Isnin, SPRM berkata tiga pegawai kanannya itu ditahan bagi membantu siasatan.
Beberapa hari lepas, sebuah blog mendedahkan SPRM menahan tiga pegawainya terkait dakwaan mencuri barang kes iaitu wang rampasan daripada bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abd Hamid tiga tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Abd Jalil Hassan berkata pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kecurian barang kes seperti didakwa.
Pada April, Hasanah telah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes pecah amanah bernilai RM50.4 juta melibatkan dana kerajaan.
Pihak pendakwa ketika itu memberitahu mahkamah ia menarik balik kes itu kerana terdapat perkembangan baharu ditemui.
Sebelum itu, bekas ketua perisik itu mengaku tidak bersalah atas kesalahan pecah amanah melibatkan AS$12.1 juta milik kerajaan Malaysia di Mahkamah Sesyen pada 25 Oktober 2018. – 22 September, 2021.