Dasar kabotaj akan dibentang ke Kabinet bulan depan, kata Wee
Iklan
KEMENTERIAN Pengangkutan akan membentangkan dasar kabotaj ke Kabinet pada awal Oktober, kata Wee Ka Siong, enam bulan lewat daripada tarikh ia sepatutnya dibentang.
“Perkara ini akan dibincangkan secara menyeluruh setelah menerima ulasan daripada semua kementerian dan agensi berkaitan untuk menentukan hala tuju berkaitan dengan dasar ini,” katanya ahli Parlimen Ayer Hitam di Dewan Rakyat hari ini.
April lalu, Khairy Jamaluddin ketika itu menteri sains, teknologi dan inovasi berkata Kabinet telah mengarahkan kementerian berkaitan mengemukakan laporan mengenai kesan pengecualian dasar kabotaj terhadap pelaburan digital dan industri perkapalan tempatan pada 26 April.
Kementerian terbabit adalah membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi , Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Dasar kabotaj bertujuan untuk mengurangkan pergantungan pada perkapalan asing serta mengekalkan industri perkapalan dan pembuatan kapal Malaysia.
Pada 2019 Pakatan Harapan mengecualikan kapal asing daripada dikenakan tindakan menerusi Ordinan Perkapalan Malaysia 1952 Seksyen 65KA (1) jika kapal asing itu terbabit dalam perkhidmatan pembaikan kabel dasar laut di mana-mana pusat pendaratan di perairan Malaysia.
Bagaimanapun, selepas mengambil alih Putrajaya, kerajaan Perikatan Nasional menarik balik pengecualian tersebut pada November tahun lalu. – 22 September, 2021.