Lanjutan pasport percuma 2 tahun rakyat Malaysia di luar negara, kata menteri
Iklan
PUTRAJAYA akan melanjutkan tempoh sah pasport yang telah tamat selama dua tahun bagi rakyat Malaysia yang kini berada di luar negara, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini.
“Kerajaan akan melanjutkan tempoh sah pasport untuk rakyat Malaysia yang berada di luar negeri selama dua tahun, secara percuma.
“Lanjutan ini berkuat kuasa 17 Jun,” kata Hamzah kepada Dewan Rakyat hari ini.
Ini berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh sah pasport untuk rakyat Malaysia di Singapura pada Julai.
“Kementerian Dalam Negeri melalui jabatan imigresen telah mengambil inisiatif untuk melanjutkan tempoh sah pasport selama dua tahun secara percuma untuk rakyat Malaysia di luar negara.”
Buat masa ini kerajaan tidak berniat untuk memberikan pengecualian untuk pembaharuan pasport Malaysia, katanya.
Ini berikutan terdapat keluhan mengenai kesukaran untuk memperbaharui pasport secara dalam talian dan beratur panjang di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Setakat ini, sempadan negara masih ditutup bagi mengelak penularan Covid-19. – 22 September, 2021.