Iklan

Isu kerakyatan akan dibawa ke Majlis Raja-Raja, kata Hamzah

Hamzah zainuddin  afif
Persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2021.
Iklan

KERAJAAN bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing mendapat hak kerakyatan secara automatik, kata Hamzah Zainudin.

Cadangan itu bagaimanapun perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum draf pindaan Perlembagaan boleh diteruskan, menurut menteri dalam negeri.

“Setelah menerima keputusan (mahkamah) yang berbeza, KDN (Kementerian Dalam Negeri) bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapat polisi baru kerajaan untuk meminda Perlembagaan bagi memudahkan ibu-ibu melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing.

“Dalam masa yang sama perkara ini perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah juga memberitahu Dewan Rakyat meskipun bersimpati, beliau terikat dengan undang-undang.

“Tetapi sebagai seorang menteri yang telah mengangkat sumpah untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan, saya terikat dengan Perlembagaan dan perundangan sedia ada.”

Cadangan untuk meminda perlembagaan itu katanya dibuat susulan dua keputusan berbeza di mahkamah baru-baru ini berhubung isu kerakyatan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing.

“KDN kini berada di keadaan terhimpit dengan keputusan Mahkamah Kuala Lumpur iaitu kes Suriani Kempe dan enam wanita Malaysia lain lawan kerajaan Malaysia dan kes satu lagi, Mahisha Suhaila Abdul Majid lawan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan dua lagi berhubung isu pentafsiran perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Bahagian 2 Seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan.”

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September memutuskan bayi dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu. – 22 September, 2021.  

Iklan
Iklan