Kaedah giliran pastikan pelajar selamat di sekolah, kata menteri
Iklan
SISTEM penggiliran yang digunakan kepada pelajar kembali ke sekolah akan menyaksikan 50% pembelajaran dilakukan secara bersemuka manakala 50% lagi melalui pembelajaran dalam talian dari rumah (PdPR), kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin hari ini.
Ini katanya, akan memastikan keselamatan murid kerana akan membantu mengurangkan keadaan sesak di perkarangan sekolah dan kelas.
“Bagi kelas dengan 36 pelajar, mereka akan dipisahkan kepada dua kumpulan A dan B. Pada minggu pertama persekolahan, Kumpulan A akan datang hadir untuk belajar bersemuka sementara Kumpulan B menjalani PdPR. Minggu berikutnya, mereka akan bergilir,” katanya kepada Dewan Rakyat.
Radzi menjawab soalan daripada Sim The Tzin (Bayan Baru - PH) mengenai kekeliruan di kalangan ibu bapa mengenai rancangan pembukaan semula sekolah oleh kementerian.
Pelajar yang menjalani PdPR akan diberi aktiviti berdasarkan topik diajar di kelas dan mereka akan diberi rujukan oleh guru sebagai bantuan untuk belajar, tambah Radzi.
“Apabila pelajar PdPR (Kumpulan B) mengikuti kelas bersemuka, guru akan memeriksa kerja rumah mereka.”
Bagi membantu memudahkan kaedah pembelajaran baharu ini, kementerian menyediakan garis panduan untuk guru, guru besar, ibu bapa dan pelajar, tambahnya.
“Selepas berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan, ini adalah kaedah terbaik untuk memastikan ada persekitaran pembelajaran yang selamat dan membolehkan lebih 5 juta pelajar kepada persekitaran pembelajaran semula jadi mereka.”
Sekolah akan dibuka semula pada 3 Oktober bagi pembelajaran fizikal di negeri dalam Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara.
Sekolah di negeri yang masih dalam Fasa 1, 2 dan 3 akan meneruskan pembelajaran dalam talian (PdPR) dari rumah, kecuali bagi murid yang menduduki peperiksaan.
Data kementerian menunjukkan 97.46% guru sudah menerima satu dos vaksin Covid-19 sementara 88.56% sudah mendapat vaksin lengkap.
Bagaimanapun, kira-kira 2,000 guru enggan untuk mengambil vaksin tersebut. – 23 September, 2021.