Iklan

15,537 perniagaan ditutup sejak 2020, kata kerajaan

Economy daily life september 2, 2021 afif 04
Lebih 15,000 perniagaan ditutup sepanjang tempoh antara Januari 2020 hingga 31 Ogos lalu, kata KPDNHEP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.
Iklan

LEBIH 15,000 perniagaan ditutup sepanjang tempoh antara Januari 2020 hingga 31 Ogos lalu, kata Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Pada 2020, terdapat 10,487 perniagaan jenis borong, perdagangan dan sektor perkhidmatan kenderaan bermotor yang ditutup sementara 5,050 ditutup sehingga tahun ini (31 Ogos),” kata kementerian itu dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Jumlah keseluruhan perniagaan yang ditutup antara Januari 2020 hingga 31 Ogos ialah 15,537 berbanding 13,527 pada 2019.

KPDNHEP berkata jumlah petisyen untuk menutup perniagaan bagi perkongsian tanggungan berhad hampir dua kali ganda berbanding 2019 dan 2020.

“Dari 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini, sebanyak 296 petisyen untuk menutup perniagaan berbanding 162 dan 163 pada 2019 dan 2020,” kata KPDNHEP.

“Sebanyak 27% atau 80 daripada petisyen itu membabitkan syarikat sendirian berhad dalam sektor pemborongan, perdagangan dan perkhidmatan kenderaan bermotor,” katanya.

Jumlah petisyen menutup perniagaan (berdasarkan kepada Akta Syarikat) bagi borong, perdagangan dan perkhidmatan kenderaan bermotor pada 2020 ialah 984.

“Dari 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini, terdapat 562 petisyen menutup perniagaan bagi sektor ini,” katanya.

Jumlah petisyen menutup syarikat bagi sektor ini pada 2019 ialah 1,596, kata kementerian.

KPDNEHP menjawab soalan Rozman Isli (Labuan-PN) berkenaan jumlah perniagaan yang ditutup.

Sementara itu Kementerian Sumber Manusia berkata 43,924 rakyat Malaysia hilang pekerjaan tahun ini.

Menurut data Perkeso, Januari dan Februari menyaksikan jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu masing-masing 8,334 dan 6,296.

Kementerian itu menjawab soalan Lim Kit Siang (Iskandar Puteri-PH) berkenaan jumlah pengangguran sejak perintah kawalan pergerakan pada Januari tahun ini. – 23 September, 2021.

Iklan
Iklan