Iklan

Kerajaan pertimbang laksana pemutus litar bendung Covid-19, kata Khairy

Khairy jamaluddin tmikamal 04
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata langkah untuk melaksanakan 'pemutus litar' bagi membendung penularan Covid-19 masih belum dimuktamadkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.
Iklan

KERAJAAN mungkin akan melaksanakan ‘pemutus litar’ (circuit breaker) untuk membendung penularan Covid-19 dalam negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau tidak menolak kemungkinan tersebut jika berlaku penularan tidak terkawal di sesuatu lokasi. Perkara itu bagaimanapun masih belum dimuktamadkan, tambahnya . 

“Tetapi dalam peralihan kita ke praendemik kita juga mesti mengambil kira di tempat atau kawasan tertentu di mana penularannya menjadi terlalu luar kawalan, terpaksa juga kita memikirkan beberapa langkah circuit breaker yang pantas dan cepat untuk kita menghentikan penularan tersebut.

“Apa yang kita hendak elak adalah adalah total national lockdown (sekatan pergerakan penuh), tetapi kena ada circuit breaker yang cepat untuk kita menghentikan penularan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (Sibu-PH) berkenaan usaha Kementerian Kesihatan untuk menurunkan kes Covid-19 di Sarawak.

Khairy turut memaklumkan KKM sedang dalam proses menyiapkan strategi ujian saringan kebangsaan (National Test Strategy) supaya fasa mitigasi di satu-satu kawasan dapat ditentukan dengan lebih jelas.

“Jadi jelas di peringkat mana kita anggap bahawa kawasan itu boleh beralih ke fasa mitigasi, dalam keadaan apa ia masih lagi dalam keadaan late containment yang masih kita masih boleh lagi uji sama ada bergejala atau tidak bergejala dan sebagainya.

“Ini saya rasa tidak jelas sebelum ini sebab itu di lapangan ada pelbagai interpretasi tentang saringan. Sebab itu saya dah minta satu strategi ujian yang jelas dapat dilaksanakan dalam keadaan tertentu,” katanya, menjawab soalan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor-PH). – 23 September, 2021.  

Iklan
Iklan