SPRM tidak temui unsur rasuah dalam kes Rina, kata menteri
Iklan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang unsur rasuah dalam isu pembayaran hutang Rina Harun, kata Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Dewan Rakyat hari ini.
“SPRM sudah menyiasat tetapi tidak menemui sebarang unsur rasuah atau jenayah lain.
“Siasatan mendapati wang yang digunakan bagi membayar hutang RM1.3 juta itu bukan datang dari rasuah atau sumber haram lain,” katanya.
Wan Junaidi (Santubong-GPS) menjawab persoalan mengenai bagaimana Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjaya membayar hutang RM1.3 juta apabila aset yang diisytiharkannya hanya RM72,000.
Pada Februari, Rina menyelesaikan tuntutan RM1,340,642.02 oleh tiga syarikat Perancis.
Menurut rekod pengisytiharan aset menteri Kabinet yang dikeluarkan SPRM tahun lalu, Rina mempunyai pendapatan bulanan RM34,004.48 dan aset bernilai kurang dari RM1 juta.
SPRM tidak lagi menyiarkan maklumat tersebut kepada umum. Penerbitan pengisytiharan aset dimulakan semasa pemerintahan Pakatan Harapan.
Rina, yang merupakan salah seorang pengarah Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd membeli beberapa program komedi serta dokumentari dari syarikat produksi Sarl Novovision antara tahun 2011 dan 2013.
Bagaimanapun ketiga-tiga syarikat ditutup antara Disember 2013 dan Ogos 2015.
Pada Mei 2014, Rina dan pihak lain membuat perjanjian jaminan dengan Sarl Novovision bahawa mereka akan memegang tanggungjawab untuk semua syarikat. – 23 September, 2021.