250 kematian Covid-19 dilapor semalam
Iklan
MALAYSIA melaporkan 250 kematian Covid-19 semalam, naik berbanding 116 kematian kelmarin.
Menurut pangkalan data terbuka Kementerian Kesihatan, Git.hub, hanya sembilan kematian sebenar daripada 250 yang dilaporkan berlaku semalam.
Baki 241 kematian lagi adalah kes tertunggak yang belum dilaporkan.
Daripada jumlah keseluruhan semalam, 49 adalah kes kematian dibawa ke hospital (BID).
Data terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan korban wabak di Malaysia kini mencecah 24,931 orang.
Jumlah kematian harian yang dilaporkan adalah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari itu, termasuk kes tertunda yang hanya disahkan punca kematian seleps siasatan klinikal disiapkan pihak berkuasa.
Jumlah kematian harian di Selangor naik daripada 33 kelmarin kepada 65 kematian semalam. Daripada jumlah itu, 14 kematian adalah kategori BID.
Bagaimanapun, hanya satu kematian sebenar berlaku di Selangor semalam, bakinya adalah kes tertunggak.
Negeri lain yang melaporkan kematian Covid-19 semalam adalah Kelantan (14), Pulau Pinang (20), Sabah (43), Perak (14), Kuala Lumpur (6), Sarawak (16), Kedah (6), Melaka (3), Johor (41), Negeri Sembilan (4), Perlis (3), Pahang (9), dan Terengganu (6).
Tiada kematian disebabkan wabak dilaporkan berlaku di Labuan dan Putrajaya.
Purata kematian nasional adalah 5.9 per 100,000 orang, dengan Pulau Pinang melaporkan purata tertinggi iaitu 15.6 kematian per 100,000 orang.
Purata kematian sebenar untuk tujuh hari adalah 91 kes.
Semalam 14,554 kes baharu Covid-19 dilaporkan yang menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 2,171,232.
Menurut laman web CovidNow, pada masa sekarang terdapat 195,837 kes aktif di Malaysia dengan 163,875 pesakit atau 83.7% sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah, 20,786 (10.6%) berada di pusat kuarantin risiko rendah dan 10,121 (5.2%) pula sedang dirawat di hospital.
Daripada jumlah yang dirawat di hospital, 1,055 orang berada dalam unit rawatan rapi (ICU) dengan 595 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – 25 September, 2021.