59.2% populasi Malaysia sudah divaksin penuh
Iklan
SERAMAI 19,336,889 juta orang atau 59.2% keseluruhan populasi dan 82.5% populasi dewasa di Malaysia sudah menerima vaksin penuh Covid-19, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Menurut jawatankuasa lagi, 21,903,061 (93.6%) populasi dewasa dan 69.2% keseluruhan populasi negara pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Selain itu, 696,285 remaja atau 22.1% sudah menerima satu dos vaksin setakat semalam, manakala 25,326 atau 0.8% sudah divaksin penuh.
Lembah Klang kini menjadi kawasan paling ramai penduduknya divaksin dengan 79.6% keseluruhan populasi dan 108.7% populasi dewasa sudah divaksin penuh.
Apabila kawasan itu merekodkan kadar vaksinasi melebihi 100%, ia bermakna perubahan saiz populasi masih belum direkodkan oleh Jabatan Perangkaan sejak kali terakhir banci dilakukan, ini termasuklah jumlah penduduk tanpa dokumen pengenalan sah.
Sabah merekodkan kadar vaksinasi terendah apabila kurang 60% populasi dewasanya sudah divaksin.
Hanya 57.8% populasi dewasa sudah divaksin penuh di Sabah dan jumlah keseluruhan populasi yang divaksin hanya berjumlah 40.9%.
41.84 juta dos vaksin sudah diedarkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan apabila 273,373 lagi dos disuntik semalam.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata jawatankuasa juga sedang berusaha melibatkan 20% populasi dewasa lagi yang belum atau enggan menerima vaksin. – 25 September, 2021.