Ibu bapa di Sarawak gusar hantar anak tidak divaksin ke sekolah
Iklan
KETIKA pembukaan semula sekolah semakin hampir, begitu juga tahap kebimbangan ibu bapa pelajar yang tidak divaksin di Sarawak dengan sesetengahnya memutuskan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah hinggalah mereka mendapat jaminan ia benar-benar selamat.
Ramai berasakan mereka tidak akan menghantar anak mereka ke sekolah untuk beberapa minggu pertama hinggalah mereka berasa selamat.
Buat masa ini mereka berasakan lebih baik hanya meneruskan dengan menghadiri kelas secara dalam talian.
“Sudah tentu saya tidak akan menghantar dua anak saudara saya ke sekolah buat masa ini,” kata Tandin Anjut.
Tandin yang menjadi penjaga dua anak saudaranya - Aerina Dumang Metterrand, 10, dan Angela Ena Mayang Metterrand, 8, - berkata beliau amat bimbang kerana pandemik Covid-19 masih berleluasa di negeri itu.
Aerina pelajar Tahun 4 di SK Nanga Ajau di Betong manakala adiknya Angela di Tahun 2.
Kakitangan Lembaga Lada Malaysia itu berkata, beliau hanya akan menghantar mereka kembali ke sekolah apabila berasakan situasi semakin baik.
“Saya masih takut dengan pandemik ini,” kata Tandin kepada The Malaysian Insight.
Ketika ini hanya pelajar di Tahun 6 dan pelajar sekolah menengah - yang berusia antara 12 hingga 17 tahun - diberi suntikan vaksin.
Sarawak memulakan vaksinasi terhadap remaja berusia 16 dan 17 tahun serta 12 hingga 15 tahun dengan komorbiditi pada 8 September.
Vaksinasi bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang tidak mempunyai komorbiditi hanya bermula minggu depan.
Dianggarkan 192,800 atau 6.9% daripada penduduk Sarawak berada dalam kumpulan usia 12 hingga 17 tahun.
Pembukaan sekolah akan dilakukan secara berperingkat bermula 3 Oktober, menurut fasa negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), memberikan gambaran negara ini kini beralih ke arah endemik.
Sekolah di fasa 1 akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian manakala fasa 2 dan 3 akan diadakan secara dalam talian dan kelas secara bersemuka. Bagi negeri di fasa 4 dibenarkan kelas bersemuka secara penuh.
Daerah di Sarawak masih berada di fasa 2 - Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu. Selebihnya berada dalam fasa 3.
Rakan sekerja Tandin, Jerry Ringkai bagaimanapun mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
“Saya tidak menolak kemungkinan menghantar anak lelaki saya ke sekolah tapi saya agak gementar untuk melakukannya. Ya, anda boleh kata saya seorang paranoid,” kata Jerry.
Beliau menjelaskan anaknya yang berusia 7 tahun, Teddy Roosevelt dilahirkan tidak cukup bulan dan beliau bimbang sistem imunisasinya tidak cukup kuat untuk mengekang jangkitan Covid-19.
Teddy turut belajar di SK Nanga Enteban, juga di Betong. Betong, kira-kira 159km dari Kuching, adalah satu daripada kawasan panas Covid-19 di negeri itu.
Pada 24 September, 66 kes baharu dilaporkan di daerah itu dengan 1 kematian. – 26 September, 2021
Berita penuh di sini.