Iklan

Penyelamat ikan laga liar

Mohd Farhan Darwis3 years ago26th Sep 2021Berita
Betta lavida 20210920 tmihasnoor 008
Kumpulan pencinta ikan laga berusaha menyelamatkan spesis ikan laga liar terancam di utara Selangor ketika kawasan itu semakin dihimpit agenda pembangunan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2021.
Iklan

KUMPULAN pencinta ikan laga liar Malaysia mengambil inisiatif menyelamatkan spesies tersebut daripada kawasan hutan paya gambut di utara Selangor yang kini diteroka bagi tujuan pertanian.

Spesimen itu diselamatkan Persatuan Pencinta Ikan Laga Liar Malaysia (WBLM) bertindak mengumpul spesimen ikan tersebut dan membiakkan di dalam tangki kurungan.

Presidennya Zulkifli Mohd Salleh berkata mereka akan melepaskannya kembali di kawasan yang lebih selamat untuk memastikan kelangsungan spesis ikan laga liar tersebut.

Katanya, spesies tersebut kini diancam kepupusan disebabkan kemusnahan habitat akibat penerokaan hutan paya gambut.

“Kita tak boleh nak sekat pembangunan, aktiviti pembangunan kerajaan untuk pertanian ini bagus, cuma pada masa sama ikan laga ini berada di tempat sama.

“Spesies yang hanya di sini di dalam dunia. Kalau pupus, habislah,” kata Zulkifli kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, ikan laga liar itu banyak ditemui di kawasan hutan paya gambut yang mempunyai kandungan air yang lebih berasid dengan kandungan pH sekitar 3.9 sehingga 3.5.

Presiden Persatuan Pencinta Ikan Laga Liar Malaysia (WBLM)  Zulkifli Mohd Salleh berkata mereka akan melepaskannya kembali di kawasan yang lebih selamat untuk memastikan kelangsungan spesis ikan laga liar tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2021.

Selain itu, sesetengah spesis ikan laga liar ini juga hanya boleh ditemui di satu-satu kawasan, atau endemik kepada wilayah tertentu sahaja dan tiada di tempat lain.

“Kita mencari semua ikan laga liar terancam di kawasan ini, kita lihat spesis yang hampir terancam, banyak spesis yang kita lihat sudah tiada (di kawasan yang sudah diteroka).

“Jadi kita cuba kumpul dan biakkan ikan-ikan ini dan akan dilepaskan semula di habitat yang lebih selamat,” kata Zulkifli yang bimbang kerana habitat ikan itu semakin terancam.

Statistik Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menunjukkan, hutan simpanan kekal (HSK) paya gambut kini seluruh negara hanya berbaki 317,000 daripada kira-kira 1.030 juta hektar pada 1990.

Spesies terancam

Hutan jenis itu juga hanya boleh ditemui di empat negeri iaitu Johor, Selangor, Pahang, dan Terengganu.

Jelasnya spesis ikan laga liar endemik yang diklasifikasi terancam itu dikenali sebagai Betta livida Tanjung Malim.

Satu spesies lagi iaitu Betta hipposideros yang hanya boleh ditemui di Utara Selangor dan di Sumatera juga sedang terancam.

Spesis itu juga terkandung dalam senarai merah International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Betta livida Tanjung Malim itu hanya boleh ditemui di kawasan paya gambut yang mengunjur antara Tanjung Malim sehingga ke Kuala Selangor itu sahaja.

Terdapat kira-kira 29 spesis ikan laga liar di Malaysia dan 13 daripada jumlah itu dikenalpasti sebagai spesies endemik Malaysia.

Antara ikan laga liar terancam adalah Betta Livida Tanjung Malim yang hanya boleh ditemui di kawasan paya gambut yang mengunjur antara Tanjung Malim sehingga ke Kuala Selangor sahaja. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2021.

Selain Livida Tanjung Malim dan Hipposideros, kawasan hutan paya gambut Utara Selangor juga dihuni spesies Betta bellica, Parosphromenus harveyi, Channa barca dan Chocolate gourami.

Zulkifli berkata, ikan laga liar mengambil masa kira-kira sembilan bulan hingga setahun untuk betul-betul matang dan sedia untuk dibiakkan sebelum boleh dilepaskan semula ke habitat asal.

“Setakat ini, persatuan sudah melepaskan semula lebih dari 1,000 ekor ikan, jumlah itu termasuklah kira-kira 300 ekor Betta persephone, 400 ekor Betta livida Tanjung Malim dan 400 ekor Betta livida Sepang.

“Pelepasan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia dan lokasi akan dirahsiakan,” kata Zulkifli.

Persatuan juga katanya akan membuat pemantauan berkala setiap tiga bulan selepas pelepasan semula ikan laga liar berkenaan di habitat asalnya.

Jelasnya, nilai ikan laga liar juga berkali ganda lebih tinggi berbanding ikan laga moden yang dibawa masuk dari negara jiran, Thailand.

Sebagai contoh, spesis Betta Imbellis, Beta livida dan lain-lain, nilai pasaran antarabangsanya kata Zulkifli mampu mencecah sehingga AS$100 atau RM450 seekor di Eropah.

“Semakin terancam sesuatu spesis, nilainya makin tinggi…tetapi kita harap yang dibiakkan di rumah sahaja yang dijual, yang disauk (liar) jangan dijual,” katanya.

Ahli Persatuan Ikan Laga Liar Malaysia (WBLM) memeriksa papan tanda pembangunan di Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor, kawasan yang dikenal pasti menjadi habitat ikan laga terancam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2021.

Ahli WBLM Muhammad Fairuz Abdul Jalal, berkata adalah menjadi satu kesalahan melepaskan ikan laga liar ke kawasan lain yang bukan habitat asalnya, walaupun ekosistemnya hampir serupa.

Pensyarah itu berkata, mereka mahu memelihara nilai estetik ikan laga liar yang menghuni habitat asal.

“Kalau ambil di kawasan sini, lepaskan ke kawasan asal. Menjadi kesalahan jika dilepaskan ke habitat lain di wilayah lain.

“Ikan laga liar Malaysia taburan endemik tertentu agak luas, kita kena lepaskan ke habitat asal…(tidak boleh lepaskan sembarangan) walaupun ekosistem sama.

“Itu akan merosakkan ekosistem (ikan laga liar) tempatan,” kata pensyarah di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu.

Muhammad Fairuz berkata, usaha pembiakan dalam kurungan hanya dijalankan sendiri oleh peminat ikan laga liar sebelum persatuan itu wujud.

“Bila ada WBLM ia menjadi platform untuk kumpulkan semua,” katanya.

Namun begitu masih terdapat beberapa lagi spesis ikan laga liar tempatan yang belum dapat dikenalpasti, katanya.

Antara ikan laga liar terancam yang diselamatkan dari kawasan hutan yang dibersihkan di Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2021.

Data Jabatan Perikanan Malaysia merekodkan nilai eksport ikan laga liar Malaysia adalah sekitar RM370 juta setahun.

Malaysia berada di tangga keempat sebagai pengeksport ikan laga manakala kedudukan pertama jatuh kepada Singapura yang merupakan pengeksport utama ikan laga di Asia.

WBLM yang dianggotai 18,000 ahli mengadakan beberapa siri perbincangan dan turut bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya di samping menjadi rakan strategik Jabatan Perikanan Malaysia.

Antara aktiviti yang dirancang persatuan bersama agensi kerajaan itu katanya termasuklah cadangan pembangunan pusat konservasi ikan laga liar di Putrajaya dan Melaka.

Nilai komersil ikan laga liar Malaysia juga kata Zulkifli semakin meningkat selepas persatuan itu menganjurkan pertandingan pada 2019.

WBLM turut menyediakan garis panduan dan dokumentasi kriteria khusus spesifikasi dan jenis ikan laga liar termasuk kursus serta peperiksaan untuk hakim pertandingan.

Persatuan itu juga mengeluarkan buku Malaysia Wild Betta Standards dan telah dilancarkan pada September 2019 oleh ketua pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Lokasi menyelamat spesies tersebut melibatkan kawasan yang kini dibangunkan sebagai tapak Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Negeri Selangor.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengakui ia milik mereka dan menafikan meneroka kawasan HSK paya gambut Sungai Panjang.

Dalam satu kenyataan, ia menjelaskan tanah PKPS untuk tapak projek pembangunan pertanian bersepadu dikenali sebagai Selangor Smart Agro Park (SSAP) itu berstatus pertanian. – 26 September, 2021.

Iklan
Iklan