Penampilan sulung Ismail Sabri di PBB sederhana dan selamat, kata penganalisis
Iklan
UCAPAN sulung Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) mencerminkan pendekatannya yang sederhana dan selamat terhadap beberapa isu, kata penganalisis.
“Ini mencerminkan pendekatan politiknya di Malaysia yang mesra walaupun terdapat kritikan terhadap isu-isu global – program pemberian vaksin, pembaharuan PBB dan konflik di Myanmar, Palestin dan Afghanistan,” kata pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Kamarul berkata ramai yang mahu Ismail Sabri lebih lantang dan lebih tegas seperti Dr Mahathir Mohamad, tetapi naib presiden Umno itu mempunyai pendekatannya tersendiri.
“Sebagai orang yang bersederhana, Ismail Sabri lebih suka hanya melontarkan pendapatnya tanpa merosakkan hubungan dengan bangsa lain walaupun mungkin membuatkan beliau lebih popular seperti Dr Mahathir,” kata pensyarah sains politik itu.
Ismail Sabri menyampaikan ucapan pertamanya di UNGA melalui video semalam.
Dalam ucapan tersebut, perdana menteri yang baru dilantik itu menyuarakan soal mengenai dasar diskriminasi terhadap pemberian vaksin Covid-19, ketidakseimbangan pembangunan, pelucutan senjata nuklear, dan isu berkaitan Myanmar, Palestin serta Afghanistan.
Kamarul berkata kecaman Ismail Sabri terhadap pencerobohan Israel di Palestin juga akan membantu meningkatkan imej domestik dan antarabangsa di dunia Islam.
“Seruannya kepada Myanmar untuk mengizinkan utusan khas ASEAN mengunjungi negara itu dan mempercepat pelaksanaan Five-Point Consensus ‘, juga harus meningkatkan penerimaannya bukan saja di Malaysia bahkan di peringkat ASEAN,” kata Kamarul.
“Keluarga Malaysia”
Sementara itu, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Lau Zhe Wei berpendapat Ismail Sabri telah memainkan peranan dengan selamat dan ucapannya tidak mempunyai idea dan penyelesaian baru.
Berbanding dengan seseorang pemimpin seperti Dr Mahathir, Lau berkata ucapan Ismai Sabri juga kelihatan biasa dan mengelakkan pertembungan langsung dengan negara-negara besar.
“Meskipun, Ismail Sabri mengetengahkan idea bernas tentang ‘keluarga dunia’, berdasarkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkannya, tetapi ia tidak cukup kuat.
“Kedengarannya bagus di atas kertas, tetapi dari segi pelaksanaannya, kerajaannya belum menunjukkan apa-apa lagi. Tanpa hasil, sukar untuk meyakinkan masyarakat dunia bahawa ini adalah konsep yang dapat dilaksanakan.”
Mengambil kira ucapan pertama Dr Mahathir di UNGA pada 2018, Lau berkata pemimpin berusia 95 tahun itu memberi lebih banyak penyelesaian.
“Sebagai contoh, dalam salah satu pidatonya, disebalik memaksa negara yang kurang maju untuk memperuntukkan peratusan tanahnya untuk perhutanan, Dr Mahathir menyarankan agar negara maju ‘membeli’ kredit daripada negara miskin.
“Saranan ini masuk akal, dan dapat berkompromi dan bukannya lebih kepada cadangan idealis,” kata Lau. – 26 September, 2021.