Iklan

416 tapak pembinaan ditutup gagal patuhi SOP, kata timbalan menteri

Tapak
Kira-kira 416 tapak pembinaan ditutup sejak 1 Jun hingga 26 September kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2021.
Iklan

KIRA-kira 416 tapak pembinaan ditutup sejak 1 Jun hingga 26 September kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard Covid-19, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur Joseph Kurup. 

Arthur berkata daripada jumlah itu, 232 tapak pembinaan dibenarkan menyambung operasi selepas mematuhi SOP. 

Katanya setakat 1 Jun hingga 26 September, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menjalankan pemeriksaan di 10,087 tapak pembinaan. 

“Daripada jumlah keseluruhan, kita dapati 5,317 tapak pembinaan masih beroperasi manakala 4,770 tidak beroperasi. 

“Bagi memastikan industri tidak terjejas, kementerian telah mengambil langkah proaktif untuk menjalankan pemeriksaan dan meningkatkan proses vaksinasi di tapak pembinaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Arthur menjawab soalan tambahan daripada Che Abdullah Mat Nawi (Tumpat -PAS) yang bertanya mengenai kluster dalam sektor ini dan apa tindakan yang diambil oleh kementerian. 

Katanya penutupan tapak pembinaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, bagaimanapun CIDB juga mempunyai kuasa untuk mengenakan denda sekiranya tapak pembinaan tidak mematuhi SOP. 

Mengenai vaksinasi di tapak pembinaan, Arthur berkata sehingga 26 September, pihak berkuasa kesihatan telah memvaksin 43,269 individu, manakala 56,498 pekerja asing telah melengkapkan vaksinasi.– 27 September, 2021.

Iklan
Iklan