Iklan

RMK12 sasar bangun ekonomi pasca Covid-19

Independence day 310821 tmiseth 03
Rancangan Malaysia ke-12 memberi fokus pembangunan semula ekonomi yang terjejas angkara Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2021.
Iklan

RANCANGAN Malaysia ke-12 (RMK12), yang dibentangkan di Parlimen hari ini, memberi fokus pada pembangunan semula ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sasaran perancangan lima tahun bagi 2021 hingga 2025 meliputi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 4.5% hingga 5.5%, meningkatkan pendapatan negara kasar (PNK) daripada RM42,503 kepada RM57,882, dan menambah pendapatan pekerja daripada 37% kepada 40%.

RMK12 juga menyasarkan purata pendapatan isi rumah bulanan daripada RM7,160 kepada RM10,065 menjelang 2025.

“Dalam tempoh RMK12, ekonomi global dijangka kembali mencapai momentum pertumbuhan berikutan pemulihan daripada pandemik Covid-19. 

“Perdagangan dunia dijangka meningkat sebanyak 5.3% setahun, disokong terutamanya oleh prestasi perdagangan yang lebih baik daripada pasaran baru muncul dan negara membangun,” menurut dokumen pelan itu yang dikeluarkan hari ini.

Pelan itu juga memberi fokus kepada pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan menyediakan persekitaran yang membina untuk ekonomi digital dan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan.

Dengan keadaan pasaran buruh yang lebih baik, RMK12 menetapkan pekerjaan penuh dan peningkatan gaji dan upah, yang seterusnya menyumbang kepada pendapatan isi rumah yang lebih tinggi.

RMK12 dibentangkan dengan tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan.

Tiga tema itu ialah menjana semula ekonomi; memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti; dan melonjakkan kemampanan.

Empat pemangkin dasarnya pula merangkumi usaha membangunkan bakat masa hadapan; mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi; menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan; dan memperkukuh perkhidmatan awam

RMK12 juga akan dipandu oleh Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dengan tumpuan pada usaha membasmi kemiskinan yang memberi fokus utama kepada miskin tegas atau kumpulan 10% bawah.

Ia juga menyasarkan: 

  • Mentransformasi kepimpinan melibatkan keseluruhan peringkat Kerajaan.
  • Memantau prestasi di peringkat nasional dan melaksanakan intervensi penyelesaian masalah.
  • Dasar yang mengutamakan rakyat diterapkan dalam perancangan sosioekonomi. 
  • Pendekatan keseluruhan negara digembleng bagi mencapai matlamat negara. 
  • Memperkukuh ekosistem tadbir urus. 
  • Sokongan politik untuk memastikan kejayaan perubahan dasar.
  • Mempertingkat kerjasama dalam kalangan agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, CSO dan rakyat. 
  • Memperkukuh identiti Malaysia, menerapkan nilai murni dan patriotisme.

Perincian RMK12 boleh diakses di sini. – 27 September, 2021.

Iklan
Iklan