Hanya 1 daripada 6 sasaran RMK11 tercapai, kata kerajaan
Iklan
HANYA satu daripada enam matlamat Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), iaitu produktiviti buruh, tercapai, dedah laporan pelan itu yang dibentangkan bersama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Parlimen hari ini.
Lima matlamat yang gagal dicapai ialah pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), pendapatan negara kasar (PNK) per kapita, pampasan pekerja (CE) kepada KDNK, purata pendapatan bulanan isi rumah dan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI).
“KDNK berada di landasan untuk mencatat pertumbuhan dalam lingkungan sasaran sebanyak 4.9% setahun sepanjang tempoh 2016 hingga 2019.
“Walau bagaimanapun, penguncupan pada tahun 2020 yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 telah menjejaskan pencapaian pertumbuhan bagi keseluruhan tempoh RMK11.
“Pandemik ini juga telah menyebabkan keadaan pasaran buruh yang tidak memberangsangkan sehingga menjejaskan pendapatan pekerja dan isi rumah, seterusnya mengakibatkan bahagian CE kepada KDNK, purata pendapatan bulanan isi rumah dan MyWI yang lebih rendah,” kata laporan itu.
Laporan RMK11 dibentangkan bersama dokumen RMK12 oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini.
Sasaran makroekonomi
Sementara itu, hanya empat daripada 12 sasaran makroekonomi dalam RMK11 tercapai iaitu penggunaan awam benar, imbangan perdagangan, akaun semasa imbangan pembayaran dan inflasi.
“Sasaran ekonomi makro yang lain tidak dapat dicapai berikutan permintaan dalam negeri dan luar negara yang rendah,” menurut laporan itu.
Laporan itu juga menyebut ekonomi Malaysia mencatatkan purata pertumbuhan tahunan yang sederhana pada kadar 2.7% sepanjang tempoh RMK11 susulan kesn pandemik.
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, pertumbuhan ekonomi Malaysia turut dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi global.
“Pertumbuhan ekonomi global menyederhana pada kadar 3.4% setahun antara tahun 2016 hingga 2019 ketika berhadapan dengan beberapa kejutan ekonomi,” kata laporan itu.
Antara kejutan ekonomi berkenaan termasuk dasar mengutamakan pasaran dalam negeri dan normalisasi dasar monetari dalam kalangan ekonomi utama, ketidakpastian hasil rundingan Brexit serta harga komoditi yang tidak menentu. – 27 September, 2021.