Putrajaya akan perkenal cukai karbon
Iklan
PUTRAJAYA akan memperkenalkan cukai karbon untuk menjadikan Malaysia negara dengan kadar pembebasan gas karbon dioksida yang neutral menjelang 2050, kata Ismail Sabri Yaakob.
Ia diliputi dalam Dasar Tenaga Negara, antara kandungan utama pelan induk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan perdana menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya memberikan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.
“Bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti carbon pricing (penentuan harga karbon) dan cukai karbon akan diperkenalkan,” katanya.
Melalui rancangan itu, kerajaan antara lain memberi jaminan akan memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa baharu yang menggunakan bahan bakar arang batu, katanya.
“Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.
“Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji janakuasa arang batu.
“Akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial,” katanya.
Perincian berkenaan akan diumumkan selepas kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir 2022, katanya.
Ahli Parlimen Bera itu juga berkata model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMK12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.
Beliau berkata kerajaan juga akan mengiktiraf pertubuhan masyarakat sivil yang akan dilibatkan dalam pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan pada peringkat akar umbi.
Cukai serupa sudahpun mula diperkenal di bandar dan negara maju melibatkan bayaran yang dikenakan ke atas perusahaan yang membebaskan karbon dioksida ke atmosfera.
Ia bertujuan menggalakkan perusahaan dan pengguna untuk memilih produk dan perkhidmatan dengan kadar pembebasan karbon lebih rendah.
RMK12 yang dibentangkan di Parlimen hari ini memberi fokus pada pembangunan semula ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Sasaran rancangan lima tahun bagi 2021 hingga 2025 itu meliputi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 4.5% hingga 5.5% dan meningkatkan pendapatan negara kasar (PNK) daripada RM42,503 kepada RM57,882.
Ia juga disasarkan dapat menambah pendapatan pekerja antara 37% hingga 40%. – 27 September, 2021.