Laporan RMK12 tunjuk jurang pembangunan melebar antara negeri
Iklan
JURANG pembangunan melebar antara negeri ditunjukkan oleh KDNK per kapita yang lebih rendah untuk empat negeri, kata laporan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Laporan yang dibentangkan di Parlimen hari ini, menunjukkan Kelantan, Sabah, Kedah dan Perlis mencatatkan KDNK per kapita terendah kerana terlalu bergantung kepada pengeluaran komoditi.
“Kelantan mencatat KDNK per kapita terendah berjumlah RM14,083 dengan jurang 67.5% di bawah purata nasional RM43,378 dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan pencapaian tertinggi sebanyak RM120,600,” kata laporan RMK12.
Laporan itu menyebut perbezaan jurang pembangunan antara wilayah terus melebar dengan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyumbang sebanyak 40.4% kepada KDNK nasional.
“Wilayah Tengah mencatat KDNK per kapita tertinggi sebanyak RM62,886 pada tahun 2020, sementara wilayah Sabah mencapai pendapatan terendah sebanyak RM22,858 dengan jurang 63.7% kepada wilayah Tengah,” kata laporan itu.
Sebagai penyelesaian, laporan RMK12 itu menyebut ia akan mengutamakan usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri bagi memastikan pembangunan seimbang.
“Pengagihan manfaat sosioekonomi yang lebih adil dari pembangunan seimbang di seluruh negeri dan wilayah akan merapatkan jurang wilayah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia, sejajar dengan prestasi ekonomi negara.
“Pertumbuhan bagi negeri Kelantan, Sabah, Kedah dan Perlis yang mencatat KDNK per kapita terendah dijangka bertambah baik. Peningkatan ini akan merapatkan jurang pendapatan antara negeri.”
Sementara itu, pampasan pekerja (CE) di Malaysia terus ketinggalan berbanding negara maju dengan hanya pada kadar 35.9%.
“Bahagian CE yang lebih tinggi adalah penting bagi membolehkan rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang wajar. Walau bagaimanapun, bahagian CE kepada KDNK masih rendah berbanding kebanyakan negara berpendapatan tinggi, iaitu AS (53.7%), Australia (46.9%), Korea Selatan (46.8%) dan Singapura (40.2%) dengan tertinggi di Jerman (59.4%),” kata laporan RMK12.
Tambah laporan itu, kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja berkemahiran rendah telah menyebabkan kenaikan upah dan gaji yang perlahan.
“Struktur ekonomi kekal berada pada rantaian nilai yang rendah. Ini telah mengehadkan keupayaan untuk mewujudkan pekerjaan mahir dan berpendapatan tinggi. Keadaan ini dapat dilihat daripada komposisi pekerjaan mahir yang rendah, pada purata 27.6% dalam tempoh 2016 hingga 2020.
“Di samping itu, pendapatan yang diterima oleh pekerja adalah tidak sepadan dengan nilai output yang dihasilkan. Ini telah mengekang pertumbuhan CE.” – 27 September, 2021.