Iklan

807 kes kemalangan lawan arus sejak Januari, kata Wee

Accident kemalangan
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata 807 kes melibatkan pemandu melawan arus dilaporkan sejak Januari tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2021.
Iklan

SEBANYAK 807 kes melibatkan pemandu melawan arus dilaporkan sejak Januari tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Wee berkata kajian mendapati faktor manusia terutamanya memandu melebihi had, pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, tidak fokus kerana menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah, serta tidak mematuhi peraturan jalan raya menjadi faktor utama berlakunya kemalangan.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, daripada 807 kes kemalangan lawan arus yang dilaporkan, sebanyak 29 membabitkan kemalangan maut, parah (17), kecederaan ringan (49), 712 lagi menyebabkan kerosakan, katanya.

“Faktor manusia ini pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu, dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu.

“Dalam kes berkaitan memandu melawan arus, kebelakangan ini telah dilaporkan berlakunya kes-kes demikian disebabkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, dan perkara ini amat membimbangkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Wee berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH) berkenaan statistik kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan melawan arus sejak Januari tahun ini serta langkah dilaksanakan kerajaan untuk membendungnya.

Wee berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH) berkenaan statistik kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan melawan arus sepanjang tahun ini serta langkah dilaksanakan kerajaan untuk membendungnya.

Sejak Januari sehingga kini juga kata Wee, sebanyak 2,560 kemalangan maut direkodkan, dengan 11 daripadanya adalah akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Kita memandang berat isu ini walaupun sebelum itu kadar kematiannya (pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah) adalah lebih tinggi, kita melihat ini secara objektif.

“Sebab itu saya mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) membuat kajian sebelum dan selepas (pindaan Akta 333), kajian ini sedang berjalan.

“Dan apa yang saya dapati daripada kes-kes didakwa di mahkamah, tidak lagi hanya dikenakan denda, mereka wajib atau secara mandatori dikenakan hukuman penjara,” katanya. 

Kementerian Pengangkutan juga telah menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 mulai Oktober 2020, tambah Wee.

Antara lain pindaan ke atas hukuman sedia ada termasuk meningkatkan kadar denda serta tempoh penjara dilaksanakan khususnya berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkokol dan dadah.

“Pindaan hukuman ini adalah bertujuan pencegahan dan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan orang ramai supaya mereka mematuhi undang-undang.

“Selain itu, nilai ambang had kepekatan alkohol dalam darah yang dibenarkan juga telah dipinda,” jelasnya. – 28 September, 2021. 

Iklan
Iklan