Tarikh akhir 51% ekuiti Bumiputera dilanjutkan hingga 2022, kata menteri
Iklan
KERAJAAN melanjutkan syarat berhubung ekuiti 51% Bumiputera bagi syarikat logistik sehingga 31 Disember 2022, kata Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Kementerian Kewangan memutuskan untuk melanjutkan pengecualian bagi kali kedua hingga Disember 2022 sehingga Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera) dapat mengkaji penglibatan Bumiputera dalam industri logistik,” kata menteri kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
“Kajian ini akan dibentangkan kepada Kabinet untuk memutuskan hala tuju penglibatan Bumiputera dalam sektor logistik dan memastikan industri ini akan terus berkembang,” kata Tengku Zafrul semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (Seremban-PH) mengenai sama ada kerajaan akan mengkaji semula dasar ekuiti untuk syarikat penghantaran barang yang beroperasi.
Syarikat logistik dan penghantaran barang yang memiliki lesen pembrokeran Jabatan Kastam menyuarakan kebimbangan mengenai tarikh akhir yang semakin hampir bagi syarikat melaksanakan dasar 51% Bumiputera sebelum boleh memperbaharui lesen tahunan mereka.
Pengerusi Persatuan Penghantar Fret Udara Malaysia (AFAM) Walter Culas berkata ia menjadi perkara sukar untuk mencari peniaga Bumiputra yang bersedia mengambil 51% ekuiti dalam syarikat penghantaran barang.
“Sebahagian besar syarikat logistik mempunyai pangkalan dan cawangan asing di seluruh dunia.
“Sebagai contoh, syarikat seperti DHL. Adakah akan ada pihak yang mempunyai wang untuk membeli 51% ekuiti dalam syarikat itu di sini?’’ soal Culas.
Menjawab pertanyaan Loke, Tengku Zafrul berkata masalah ini bukanlah perkara baharu kerana dasar tersebut sudah diputuskan pada 2015.
Beliau berkata kerajaan sudah melanjutkan tarikh akhir Disember 2020 dahulu selepas permintaan daripada Persekutuan Penghantar Barang Malaysia. – 28 September, 2021.
Berita penuh di sini