Kerajaan beri pengecualian guna pas perjalanan MTP ke luar negara
Iklan
JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengumumkan pengecualian permohonan MyTravelPass (MTP) berkuatkuasa 1 Oktober ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud.
Khairul dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengecualian itu terpakai untuk beberapa kumpulan bagi perjalanan rakyat negara ini ke luar negara.
“Pelajar yang baru mendapat tawaran belajar di universiti luar negara, bersama dua orang pengiring; pelajar lama yang menyambung pelajaran di luar negara bersama dua orang pengiring; dan pelajar yang menduduki peperiksaan di luar negara bersama dua orang pengiring,” kata kenyataan yang dikeluarkan JIM hari ini.
Selain itu, mereka yang terlibat dengan urusan kecemasan seperti kematian dan sakit kritikal juga tidak perlu membuat permohonan MTP.
Rakyat negara ini yang ingin bertemu pasangan isteri atau suami di luar negara yang mana perkahwinan hanya didaftarkan diluar negara juga dikecualikan MTP.
Pengecualian itu turut terpakai buat warganegara Malaysia yang menyertai acara sukan, seminar dan mesyuarat; atau menyertai misi bantuan kemanusiaan di luar negara.
“Jabatan ini juga juga ingin menjelaskan diplomat Malaysia dan diplomat asing kekal tidak perlu memohon MTP seperti ketetapan sedia ada.
“Semua dokumen berkaitan tujuan perjalanan hendaklah ditunjukkan kepada pegawai Imigresen yang bertugas di kaunter-kaunter di mana-mana pintu masuk negara,” kata kenyataan itu.
The Malaysian Insight pada 24 September melaporkan Kabinet memutuskan untuk membatalkan kelulusan MTP kepada rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight keputusan itu akan berkuatkuasa serta-merta dan rakyat Malaysia yang meninggalkan negara ini tidak lagi perlu membuat permohonan pas dari imigresen.
MTP dikeluarkan untuk mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara selepas sempadan ditutup susulan pandemik Covid-19.
Ketua pengarah jabatan sebelum ini berkata pas itu berkuat kuasa untuk memantau pergerakan pelancong yang masuk dan keluar dari negara ini sebagai sebagian daripada usaha untuk mengekang penyebaran kes Covid-19. – 29 September, 2021.