Iklan

Perlu strategi tangani jangkitan Covid-19 bila rentas negeri dibenarkan, kata pakar

Hailey Chung Wee Kye3 years ago30th Sep 2021Berita
49990781757 0a77c7f1ee o
Orang ramai juga perlu tahu hukuman boleh dikenakan kepada individu yang melakukan perjalanan rentas negeri dalam keadaan tahu dirinya tidak sihat, kata pakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2021.
Iklan

LANGKAH berjaga-jaga masih diperlukan apabila larangan perjalanan rentas negeri ditarik balik bulan depan, dan pihak berkuasa mesti ada strategi jelas untuk bertindak pantas jika ada kes baharu Covid-19 dikesan daripada aktiviti rentas sempadan negeri, kata pakar kesihatan.

Ia bukan saja tentang rentas negeri, tetapi paling penting ialah aktiviti yang dilakukan orang ramai ketika dalam perjalanan ini, kata bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), beliau berkata mereka yang melakukan perjalanan rentas negeri perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dr Lokman berkata pihak berkuasa perlu mempunyai sistem pemantauan lebih baik dan strategi ujian saringan perlu disediakan sebaik saja perjalanan rentas negeri dibenarkan.

“Perlu cepat siasat dan asingkan kes positif dan kontak rapat mereka. Ujian RTK-antigen menggunakan air liur atau swab hidung perlu disediakan di pusat kesihatan termasuk klinik di luar bandar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menekankan ujian saringan awal bagi kes bergejala, terutama di kawasan luar bandar di mana individu terdedah kepada jangkitan dibawa oleh ahli keluarga dari kawasan lain di mana kes dilaporkan lebih tinggi.

Dr Lokman berkata orang ramai juga perlu tahu hukuman boleh dikenakan kepada individu yang melakukan perjalanan dalam keadaan tahu dirinya tidak sihat.

Mereka boleh dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 12(1) dan (2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, tambahnya.

Mereka yang melakukan perjalanan rentas negeri perlu terus mematuhi SOP, kata pakar kesihatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2021.

Risiko lebih besar kepada individu tidak vaksin

Pakar epidemiologi dan biostatistik dari Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Malina Osman memberi amaran tentang pendedahan dan risiko lebih besar kepada individu yang tidak mengambil vaksin.

Katanya, sesiapa yang melakukan perjalanan ke negeri lain perlu bertanggungjawab untuk melakukan ujian saringan kendiri, selain sentiasa mematuhi SOP ketika menyertai program perkumpulan sosial.

Ini sangat penting bagi mereka yang tidak divaksin, katanya.

“Ujian saringan perlu sering dilakukan bagi individu yang tidak mengambil vaksin supaya mereka dapat memantau sebarang potensi atau risiko jangkitan antara mereka, selain daripada invidu yang mereka ziarahi.

“Kumpulan individu tidak vaksin ini perlu sentiasa tahu dan diberi amaran tentang risiko mereka dijangkiti virus dengan komplikasi lebih teruk adalah lebih tinggi berbanding populasi yang mengambil vaksin,” katanya.

Berkenaan sijil vaksinasi, Dr Malina mencadangkan keputusan ujian Covid-19 individu tidak vaksin digunakan bagi menentukan sama ada mereka dibenarkan masuk ke hotel atau tempat penginapan, lokasi pelancongan dan makan di restoran.

Dr Malina berkata lebih baik jika perjalanan rentas negeri hanya dibenarkan apabila jangkitan ata jumlah kes lebih rendah, contohnya apabila semua negeri beralih ke Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPM), dan bila negara sudah dalam keadaan endemik.

Setakat 24 September, hanya Labuan dan Negeri Sembilan berada pada Fasa 4. Kebanyakan negeri lain masih dalam Fasa 2 dan 3, sementara Kedah satu-satunya negeri dalam Fasa 1, dengan sekatan kawalan pergerakan paling ketat.

Pakar mencadangkan keputusan ujian Covid-19 individu tidak vaksin digunakan bagi menentukan sama ada mereka dibenarkan masuk ke hotel atau tempat penginapan, lokasi pelancongan dan makan di restoran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2021.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein memberi gambaran perjalanan rentas negeri mungkin dibenarkan sebelum akhir Oktober.

Dalam tempoh itu, 90% populasi dewasa di negara ini dijangka sudah menerima vaksin Covid-19.

Kerajaan sedang merangka dan memuktamadkan langkah yang perlu diambil sebelum menarik balik larangan rentas negeri, tetapi pada masa menyeru orang ramai untuk mengamalkan disiplin diri apabila kebenaran rentas negeri diberikan.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata perjalanan rentas negeri cukup selamat bagi mereka yang lengkap vaksin dan mengambil ujian saringan RTK-Antigen sebelum melakukan perjalanan.

Beliau berkata tidak akan ada kesan besar jika negeri dikunjungi itu mempunyai kadar jangkitan hampir sama dengan lokasi asal individu yang melakukan perjalanan berkenaan.

Tetapi individu yang tidak divaksin perlu mengelak melakukan perjalanan demi melindungi sistem penjagaan kesihatan di negeri yang berkapasiti lebih rendah, kata Dr Kuljit.

“Mereka lebih berisiko untuk dijangkiti dan mungkin di kawasan itu katil ICU penuh dan akan menjejaskan sistem penjagaan kesihatan.

“Contohnya, jika mereka ke Kedah dan dijangkiti Covid-19, mereka akan terkandas di hospital kecil selama berbulan-bulan untuk sembuh, dan di Kedah, katil ICU sedikit saja,” katanya.

Tambahnya, sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang bergelut dengan pesakit Covid-19 hinggalah baru-baru ini keadaan agak reda, sementara hospital di Pulau Pinang dan Sarawai masih lagi berdepan kes jangkitan yang tinggi. – 30 September, 2021.

Iklan
Iklan