Cadangan had lesen memandu ikut umur tak munasabah, kata warga emas
Iklan
LESEN memandu tidak harus dihadkan kepada umur tertentu sebaliknya keadaan kesihatan individu kerana penyakit tidak mengira usia, kata warga emas.
Umur bukanlah antara faktor kemalangan kerana warga emas yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk, masalah mata, atau penyakit lain yang menjejaskan koordinasi mata dan tangan memang dilarang memandu, menurut mereka.
Bobby John, 61, guru tuisyen Bahasa Inggeris dan Sejarah di Selangor, berkata memandu menjadi rutin seharian beliau dan rakan-rakan sebaya yang lain.
“Ramai orang yang berusia 60-an masih sihat. Memang ada yang menghidap darah tinggi dan kencing manis, tetapi masih boleh memandu.
“Mereka yang menghidap dementia memang patut tidak dibenarkan memandu,” katanya.
John dan warga emas lain yang ditemu bual The Malaysian Insight menyanggah cadangan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias pada 24 September lalu supaya meletakkan syarat khas kepada golongan berkenaan sebelum mereka dibenarkan memperbaharui lesen memandu.
Mereka sebaliknya berpandangan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan melebihi had laju dibenarkan masih menjadi faktor utama kemalangan maut di jalan raya. Malah bukankah fokus polis sepatutnya lebih kepada bagaimana mengatasi kes-kes terbabit, soal mereka.
“Kalau lah semua warga emas perlu dinilai, maka satu sahaja diperlukan iaitu ujian mata kerana mungkin ada yang mengalami masalah silau.
“Tetapi kebiasaannya tuan punya badan tahu sama ada dia boleh memandu atau tidak,” kata John.
Seorang lagi warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Azmi senada dengan John, menambah pemandu muda juga mempunyai penyakit yang menyukarkan mereka memandu.
Menurut Azmi, 69, cadangan Azisman yang lebih menjurus kepada warga emas perlu dikaji terlebih dahulu berserta bukti.
“Larang kami memandu tidak menjadikan jalan raya lebih selamat. Malah, kalau bukan kerana orang tua macam kami yang pandu kereta perlahan, sudah tentu orang muda lebih bebas memecut.
“Selama ini pihak berkuasa sudah cuba bermacam cara, misalnya kenakan denda, pasang kamera perangkap had laju…semuanya tidak berkesan untuk cegah kemalangan jalan raya. Semuanya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri,” katanya.
Tambahnya, pemandu perlu dididik kerana ramai yang gemar menaip teks ketika memandu serta tidak memberi isyarat apabila menukar lorong.
Namun, berbeza pula dengan Lee Lai Heng, yang bersetuju dengan cadangan Azisman terhadap pemandu berusia 70 tahun ke atas.
Bekas pekerja industri telekomunikasi itu bagaimanapun berkata kerajaan perlu menyediakan pemeriksaan kesihatan tubuh badan dan mental secara percuma kerana kebanyakan warga emas mempunyai masalah kewangan.
Selepas cadangan Azisman mendapat reaksi pelbagai pihak, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata menjelaskan saranan tersebut adalah cadangan peribadi Azisman. Ia belum menjadi pendirian rasmi dan dibincangkan secara mendalam oleh Polis Diraja Malaysia.
Sebarang pengenalan kaedah keselamatan baharu hanya akan dilaksana setelah menjalani proses serta diputuskan pelaksanaannya oleh semua pihak yang berkepentingan, katanya.
Selasa lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada sidang Dewan Rakyat berkata kementeriannya tidak berhasrat untuk mengehadkan umur pemegang.
Kerajaan katanya tidak tidak boleh bersifat diskriminasi terhadap warga emas berusia lebih 70 tahun kerana faktor usia bukan satu-satunya punca berlakunya kemalangan jalan raya. – 30 September, 2021.