Najib arah buang maklumat sensitif dari laporan audit 1MDB, kata bekas pembantu
Iklan
NAJIB Razak arah buang maklumat “sensitif” dari laporan audit 1MDB, kata bekas setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Shukry Mohd Salleh, saksi ke-11 pendakwaan memberitahu mahkamah, ahli Parlimen Pekan itu telah mengarahkannya berbuat demikian pada 26 Februari 2016.
“Najib arahkan saya lebih kurang macam ini: ‘Shukry, you cakap dekat audit supaya isu-isu sensitif dan tak relevan termasuklah Jho Low (ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho) dalam 1MDB tak dimasukkan dalam laporan.
“‘Nanti perkara ini dapat dekat pembangkang, boleh dijadikan isu’,” kata lelaki berusia 67 tahun itu dari keterangan saksinya.
Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada perbicaraan laporan audit 1MDB Najib.
Shukry berkata, beliau kemudiannya menghubungi Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, yang ketika itu bekas Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara (JAN) dan menyampaikan arahan Najib.
Tambahnya, beliau telah menerima sampul surat yang berisi laporan audit 1MDB dari Saadatul pada 20 Februari 2016, di rumah kerajaan yang beliau duduk ketika itu di Presint 10, Putrajaya.
Katanya, ini selepas Najib arah agar laporan itu perlu dikaji sebelum dicetak.
Tambahnya Najib takut ada kandungan “tidak sesuai” dalam laporan itu.
Beliau turut menyatakan semasa perbicaraan, bekas ketua audit Ambrin Buang pada mulanya enggan serah laporan tersebut kerana perlu diserahkan dengan segera kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Setelah dapat laporan itu, Shukry berkata beliau hanya melihat sekilas pandang sahaja sebelum menyarankan kepada Najib supaya laporan itu diteliti oleh bekas ketua eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Untuk itu, Najib bersetuju dengan cadangan tersebut, tambahnya.
“Arul Kanda teliti laporan itu dan beritahu saya ada fakta yang perlu dipinda antara ketua audit dan 1MDB.
“Arul Kanda juga beritahu saya beliau pernah bertemu dengan ketua audit berhubung isi laporan.
“Namun, saya tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Arul Kanda kerana menurutnya banyak dokumen yang tidak dimiliki 1MDB semasa perbincangan diadakan dengan ketua audit,” kata Shukry.
Arul Kanda, 44, duduk di kandang tertuduh bersama Najib, 68, yang dituduh menggunakan kedudukannya untuk membuang sebahagian laporan akhir audit 1MDB antara 22 dan 26 Februari 2016, di Jabatan Perdana Menteri, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, bagi melindungi dirinya daripada tindakan jenayah.
Arul Kanda didakwa kerana bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 30 September, 2021.
Berita penuh di sini.