Ahmad Maslan anggap dirinya mangsa politik
Iklan
AHMAD Maslan menganggap dirinya sebagai mangsa politik kerana terpaksa membayar kompaun RM1.1 juta akibat kelewatan pelaksanaan undang-undang pembiayaan dana politik.
Ahli Parlimen Pontian itu membangkitkan perkembangan kes dihadapinya itu sewaktu membahas Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.
“Saya adalah mangsa politik akibat Akta Dana Politik yang masih tidak diaktakan,” katanya yang merujuk kompaun bagi penerimaan wang RM2 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak.
Katanya, beliau terpaksa membayar kompaun RM1.1 juta untuk bebas dari pertuduhan selepas gagal kes mengistiharkan penerimaan wang itu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Jelasnya, beliau pada mulanya tidak bercadang mahu membayar kompaun apabila ditawarkan penyelesaian itu pada 2019 disebabkan jumlah yang perlu dibayar itu terlalu tinggi.
Namun beliau akhirnya akur melakukan kesalahan itu dan membayar sahaja kompaun kerana proses kes tersebut mengambil masa lama.
“Apabila saya ditawarkan kompaun pada Oktober 2019, saya lawan kerana ada yang dikompaun itu dapat RM 50,000 tapi dikompaun 50 kali ganda oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Maka lawan tapi saya melihat lambat betul proses jadi saya mengaku terima RM1.1 juta saya tak cakap saya terima RM2 juta.
“Saya tanya pada Pekan (Najib Razak) beliau mengesahkan saya terima RM1.1 juta dan selepas itu saya bayar kompaun dan bebas daripada tuduhan,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepaskan Ahmad selepas kompaun RM1.1 juta itu dibayar.
Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan apabila Ahmad setuju membayar kompaun itu.
Bekas timbalan menteri kewangan itu dituduh menerima RM2 juta daru Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November, 2013 yang ditunaikannya sendiri pada hari sama.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM pada 4 Julai 2019. – 30 September, 2021.