Jabatan Kesihatan Sarawak gagal jelaskan isu manipulasi data di Hospital Sibu
Iklan
KENYATAAN Jabatan Kesihatan Sarawak terhadap dakwaan manipulasi data berhubung kadar penggunaan katil (BOR) di Hospital Sibu adalah tidak memuaskan, kata Adun Bukit Assek, Irene Chang.
Katanya, bantahan dakwaan jabatan itu ke atas surat layang yang ditulis seorang doktor di laman sesawang kesihatan, CodeBlue pada Rabu lalu tidak mengurangkan kebimbangan orang ramai.
“Jabatan harus memberikan gambaran jelas mengenai gambaran sebenar pertempuran melawan jangkitan Covid-19 di Sibu dan juga keadaan sistem penjagaan kesihatan di hospital kami,” kata Chang.
Surat tanpa nama itu mendakwa BOR di wad Covid-19 Hospital Sibu telah melebihi 100% manakala wad yang mampu menempatkan 20 hingga 30 orang terpaksa menerima 40 hingga 50 pesakit.
Menurut doktor berkenaan, alasan mengapa BOR tidak mencapai 100% seperti direkodkan kerana “pihak pengurusan atasan didakwa memanipulasi kadar kapasiti katil”.
Doktor itu juga mendakwa manipulasi data penggunaan unit rawatan rapi (ICU) di negeri ini juga berlaku.
“Realaitinya, kami tidak memiliki jumlah katil ICU yang mencukupi (katil di ICU, bermaksud tempat tidur fizikal, jururawat, pemantau, dan alat bantuan pernafasan).”
Doktor itu juga menyebut terdapat 15 pesakit positif Covid-19 terlantar beberapa jam setiap hari di jabatan kecemasan sementara menunggu katil.
Sementara itu, beberapa pesakit menunggu hingga 12 jam, sementara jumlah pesakit yang terkandas meningkat selama seminggu.
Chang berkata surat panjang lebar dengan senario terperinci itu perlu mendapat tindak balas yang lebih baik daripada jabatan kesihatan negeri.
Sebaliknya, jabatan itu membantahnya dengan mengatakan jumlah katil adalah “dinamik dan sesuai dengan keadaan”. – 2 Oktober, 2021.